Novel karya ulama besar Indonesia dngn gaya sastra melayu asli
Dibawah
Lindungan Ka’bah
SURAT DARI
MESIR Sahabat! Sudah saya terima surat sahabat yang terkirim
dalam bulan yang lalu. Mula-mula saya sangat bersedih hati sebab semenjak kita
bercerai di Jeddah, tak pernah saya menerima surat lagi daripada engkau. Tetapi
setelah surat itu saya terima saya baca, hilanglah sedih dan duka saya, nyata
bahawa engkau tidak melupakan saya.
Maksudnya engkau terangkan itu, sangat saya setujui, itulah suatu maksud
yang baik, sebab itu adalah suatu hikayat dan kejadian yang mendukakan hati dan
merawankan fikiran, yang kerapkali benar terjadi di dalam lingkungan
belia-belia kita. Saya setuju maksud
sahabat itu, pertama adalah karangan yang engkau maksudkan itu, akan ganti
bingkisan (persembahan) kita kepada orang-orang yang menjadi korban itu,
hantaran kepada arwah mereka yang suci; kedua ialah untuk menjadi cermin
perbandingan orang-orang yang hidup kemudian daripada mereka. Bukan sedikit belia-belia yang telah
menanggung sebagai orang yang telah ditanggung oleh kedua orang itu, tetapi
sukar orang yang selamat sampai ke akhirnya. Padahal "rindu dendam"
atau "cinta berahi" itu laksana Lautan Jawa, orang yang tidak
berhati-hati mengayuh perahu memegang kemudi dan menjaga layar, karamlah ia
diguling oleh ombak dan gelombang, hilang ditengah samudera yang luas itu,
tidak akan tercapai selama-lamanya tanah tepi.
Tidak ada bantuan yang dapat saya berikan kepada engkau di dalam
pekerjaan itu, hanya bersama ini saya kirimkan surat-surat yang semasa kita
masih di Makkah tak sempat saya berikannya kepada engkau. Demi apabila buku ini telah selesai,
kirimkanlah kiranya kepadaku barang senaskah, guna menghidupkan
kenang-kenanganku pada masa yang telah lampau, semasa itu kita masih dibawah
Lindungan Kaabah. Sahabatmu.
MEKKAH PADA TAHUN 1927
Harga
getah di Jambi, di seluruh tanahair sedang naik, negeri Mekah baharu sahaja
pindah dari tangan Shariff Hussin ke tangan Ibn Sa'ud, Raja Hijaz dan Najad dan
daerah takluknya yang kemudian ditukarkan namanya menjadi kerajaan
"Arabiah Sa'udiah". Setahun sebelum itu telah naik haji dua orang
yang kenamaan dari negeri kita. Keamanan negeri Hijaz, telah tersiar. Kerana
itu banyak orang yang berniat menyempurnakan Islam yang kelima itu. Tiap-tiap
kapal haji yang berangkat menuju Jeddah penuh sesak memebawa jemaah haji. Konon khabarnya, belumlah pernah orang naik
haji seramai tahun 1927 itu, baik sebelum atau pun sesudahnya. Ketika itulah saya naik haji. Dari pelabuhan
Belawan saya telah belayar menuju ke Jeddah menumpang kapal
"Karimata". Empat belas hari lamanya saya terkatung-katung di dalam
lautan besar. Pada hari kelima belas sampailah saya dipelabuhan Jeddah, pantai
Laut Merah itu. Dua hari kemudian saya pun sampai ke Mekah tanah suci kaum
Muslimin sedunia. Betapa besar hati
saya ketika melihat ka'bah tidaklah dapat saya perikan, kerana dari kecilku
sebagai kebiasaan tiap-tiap orang Islam, Ka'bah dan menara Masjidil Haram yang
tujuh itu menjadi kenang-kenanganku.
Saya injak tanah suci itu dengan persangkaan yang baik, saya hadapi
tiap-tiap orang yang mengerjakan ibadat dengan penuh kepercayaan, bahwa mereka
pun berasa gembira iaitu sebagaimana yang saya rasai itu saya tidak akan
bertemu dengan kejadian-kejadian yang ganjil atau hikayat yang sedih daripada
penghidupan manusia. Sebab sangka saya tentu sahaja selain daripada diri saya
sendiri, oran-orang yang datang kesana itu adalah orang-orang yang gembira dan
yang mampu banyak tertawanya daripada tangisannya. Tetapi rupanya, di mana-mana
jua di atas dunia ini; asalkan sahaja ditempati manusia, kita akan bertemu
dengan yang tinggi dan yang rendah, kesukaan dan kedukaan, tertawa dan ratapan
tangis. Saya telah mendengar di antara
azan (bang) yang sayup-sayup sampai di puncak menara yang tujuh, di antara
gemuruh doa manusia sedang berkeliling (tawaf) di sekeliling Ka'bah, di antara
takbir umat yang sedang pergi balik di antara Safa dan Marwah, saya telah
mendengar ratap dan rintih seorang makhluk tuhan, sayu-sayup sampai antara ada
dengan tiada hilang-hilang timbul di dalam gemuruh yang hebat itu. Sebagai kebiasaan jemaah yang datang dari
Tanah Jawa, saya menumpang di rumah seorang syeikh yang pekerjaan dan
pencariannya semata-mata daripada memberi tumpangan bagi orangorang haji, di
hadapan bilik yang telah ditentukan oleh seorang syeikh untuk saya, ada pula
sebuah bilik kecil yang muat dua orang. Disana tinggal seorang belia yang yang
baharu berusia 32 tahun, badannya kurus lampai, rambutnya hitam berminyak,
sifatnya pendiam, suka bermenung seorang diri di dalam biliknya itu. Biasanya
sebelum kedengaran azan subuh ia lebih dahulu bangun pergi ke masjid seorang
diri. Menurut keterangan syeikh kami belia itu berasal dari Sumatera, datang
pada tahun yang lalu, jadi ia adalah seorang yang telah bermukim di Mekah. Melihat kebiasaannya demikian dan sifatnya
yang soleh itu, saya menaruh hormat yang besar atas dirinya dan saya ingin
hendak berkenalan. Maka dalam dua hari sahaja berhasillah maksud saya itu; saya
telah beroleh seorang sahabat yang mulia patut dicontohi. Hidupnya sangat
sederhana, tiada lalai daripada beribadat, tiada suka membuang-buang waktu
kepada yang tidak berfaedah, lagi pula sangat suka memerhatikan buku-buku
agama, terutama kitab-kitab yang menerangkan kehidupan orang-orang yang suci,
ahli-ahli tasauf yang tinggi. Bila saya
terlanjur mempercakapkan dunia dan hal ehwalnya, dengan sangat halus dan tiada
terasa percakapan itu dibelokkannya kepada ke halusan budi-pekerti dan
ketinggian kesopanan agama, sehingga akhirnya saya terpaksa tunduk dan
memandangnya lebih mulia daripada biasa.
Baru dua bulan sahaja semenjak dari awal Ramadhan sampai Syawal,
pergaulan saya dengannya, saya telah banyak tertarik olehnya di dalam menuju
kesucian, terutama di dalam negeri yang semata-mata untuk beribadat itu. Tetapi
pergaulan yang baik itu tiba-tiba telah terusik sebab dengan kapal yang paling
akhir telah tiba seorang teman baru dari Padang. Entah kerana kebetulan sahaja
atau atau disengaja lebih dahulu, ia telah menjadi jemaah sheikh kami pula.
Sahabat saya yang baru tiba ini sangat terkejut melihat bahawa sahabat saya ada
di Mekah. Rupanya tidak disangka-sangkanya mereka akan berjumpa disana dan
sahabat saya pun rupanya tidak menyangka akan berjumpa dengan sahabat baru
itu.
Nama
sahabat saya ialah hamid dan nama saudara baru itu Salleh. Salleh menurut keterangannya, hanya dua atau
tiga hari sahaja sebelum naik haji akan tinggal di Mekah, ia akan pergi ke
Madinah lebih dahulu; dua tiga hari pula sebelum jemaah haji ke Arafah ia akan
balik ke Mekah. Setelah selesai mengerjakan haji, ia akan meneruskan
perjalanannya ke Mesir, menyambung pelajarannya. Setelah musta'id maka Salleh pun berangkat
ke Madinah.Ketibaan sahabat baru itu mengubah keadaan-keadaan dan sifat-sifat
Hamid, entah khabar apakah yang agaknya yang baru di bawa darinya dari kampung
yang mengganggu kesejahteraan fikiran Hamid. Ia bertambah tekun membaca
kita-kitab terutamanya tasauf karangan Imam Al-Ghazali. Terkadang-kadang
kelihatan ia termenung seorang diri di atas satah (atap rumah yang mendatar
sepeti rumah-rumah di negeri Arab) rumah tempatnya tinggal melihat
tenang-tenang kepada qal'ah (bintang-bintang) tua di atas puncak Jabal Hindi.
Saya seakan-akan tidak pedulikannya lagi. Sedang saya mengerjakan tawaf
keliling ka'bah maka terlihat oleh saya ia bergantung kepada kaswah (kain tabir
yang melingkungi Ka'bah) menengadahkan mukanya kelangit, airmatanya menitik
dengan derasnya membasahi serban yang membalut dadanya, kedengaran pula ia
berdoa: Ya Allah! Kuatkanlah hati hambamu ini!" Sebenarnya saya ini pun seorang yang lemah
hati, kesedihan itu telah pindah kedada saya, meski pun saya tak tahu apa yang
disedihkannya. Khabar apakah yang
agaknya yang telah dibawa oleh Salleh dari kampung? Apakah sebab Hamid bersedih
hati demikian rupa? Dunia yang manakah yang telah memutuskan harapannya?
Tipudaya siapakah yang telah melukai hatinya, hingga ia menjadi demikian rupa
itu? Itu sentiasa menjadi soal kepada saya. Pada suatu malam, sedang ia duduk
seorang dirinya di atas satah, pada sebuah bangku yang bertikar daun kurma
berjalin memandang kepada bintang-bintang yang memancarkan cahayanya yang indah
di halaman langit, saya beranikan hati saya dan saya dekati dia. Maksud saya
kalau dapat hendak membahagi kedukaan itu atau merentang-rentang barang sedikit
kedukaan hatinya. " Saudara Hamid!"
–kata saya. "Oh saudara, duduklah
kemari!" – katanya pula sambil memperbaiki duduknya dan mempersilakan
saya. Setelah sama-sama duduk, ia pun
menanyakan keramaian orang haji dan kami pun memperkatakan keadaan pada tahun
ini. Tiap-tiap perkataan terhadap kepada tanahair, pembicaraan diputarnya
kepada yang lain, serupa ia tak suka. Maka akhirnya hati saya tiada tahan lagi,
saya pun berkata: " Sudah lama
saya perhatikan hal ehwal kamu, saudara, rupanya engkau dalam dukacita yang
amat sangat. Agaknya engkau kurang percaya kepada saya, sehingga engkau tak
mahu menyatakan kedukaan itu dengan saya. Sebagai seorang kawan, yang wajib
berat sama memikul dan ringan sama menjinjing apa lagi jauh dari tanahair,
sewajibnyalah saya engkau beritahu, apakah yang menyusahkan hati engkau
sekarang, sehingga banyak perubahanmu daripada yang biasa?" Ia memandang kepada saya dengan tenang. " Katakanlah kepada saya, wahai
sahabat!" –ujar saya pula" Saya akan menolong engkau sekadar tenaga
yang ada pada saya.Kerana meski pun kita belum lama bergaul, saya telah tahu
bahawa engkau adalah seorang yang budiman, saya tidak akan mensiakan
kepercayaan engkau kepada diri saya."
" Ini satu rahsia tuan!" – katanya. " Saya akan pikul rahsia itu jika
engkau percayakan kepada saya dan saya akan masukkan ke dalam perbendaharaan
hati saya dan kemudian saya kunci pintunya erat-erat. Kunci itu akan saya
lemparkan jauh-jauh sehingga seorang pun tak dapat mengambilnya kedalam
lagi. Mendengar perkataan saya itu
mukanya kembali tenang dan ia pun berkata:" Jika telah demikian tuan
berjanji, tentu tuan tidak akan mensiakan janji itu dan saya telah percaya
penuh kepada tuan, kerana kebaikan budi tuan dalam pergaulan kita selama ini.
Saya akan menerangkan kepada tuan sebab-sebab saya bersedih hati dan akan saya
paparkan satu-persatu, sebagaimana berkata-kata dengan hati saya sendiri.
Memang, saya harap tuan simpan citra diri saya selama saya hidup, tetapi jika
saya lebih dahulu meninggal daripada tuan, sapa tahu ajal di dalam tangan Allah
S.W.T,. Saya izinkan tuan menyusun hikayat ini baik-baik, mudah-mudahan ada
orang yang akan suka meratap memikirkan kemelaratan nasib saya, meskipun mereka
tak tahu siapa saya. Mogamoga air matanya akan menjadi hujan yang dingin dan
memberi rahmat kepada saya ditanah perkuburan." Air mata saya terpercik mendengarkan
perkataan itu. Ia bermenung kira-kira
dua atau tiga minit; di antara gemuruh suara manusia yang hampir sunyi di dalam
Masjidil Haram itu, di antara doa-doa beribu-ribu makhluk yang sedang berangkat
ke hadrat Tuhan sahabatku itu mengumpulkan ingatannya. Awan gelap yang menutup
keningnya hilanglah dari sedikit ke sedikit; setelah itu ia menarik nafas
panjang, seakan-akan mengumpulkan ingatan yang bercerai-cerai dan ia pun
memulai perkataannya.
ANAK YANG KEMATIAN AYAH
Masa saya
masih berusia empat tahun, ayah saya telah meninggal, ia telah meninggalkan
saya sebelum saya kenal siapa dia dan betapa rupanya, hanya di dinding masih
saya dapati gambarnya, gambar semasa ia masih muda, gagah dan manis. Ia
telah meninggalkan saya dan ibu di dalam keadaan yang sangat melarat. Rumah
tempat kami tinggal hanya sebuah rumah kecil yang telah lama, yang lebih
dikenal kalu disebut gobok atau dangau. Kemiskinan kami telah menjadikan ibu
putus harapan memandang kehidupan dan pergaulan dunia ini, kerana tali tempat
bergantung sudah putus dan tanah tempat berpijak sudah runtuh. Hanyalah saya
yang tinggal, jerat semata, tempat dia menggantungkan pengharapan untuk zaman
yang akan datang, zaman yang masih gelap.
Meskipun pada masa itu ibu masih muda dan ada juga dua tiga orang dari
kalangan saudagarsaudagar atau orang-orang berpangkat yang memintanya menjadi
isteri, tetapi semuanya telah ditolaknya dengan perasaan yang sangat terharu.
Hatinya belum lupa kepada almarhum ayah, semangatnya boleh dikatakan telah
mengikutinya ke kuburan. Pada waktu
malam, ketika akan tidur, kerap kali ibu menceritakan kebaikan ayah semasa ia
hidup; ia seorang terpandang dalam pergaulan dan amat besar cita-citanya jika
saya besar, akan menyerahkan saya masuk sekolah supaya saya menjadi orang yang
terpelajar. Masa itu daun sedang rimbun, bunga sedang kembang dan buah sedang
lebat, orang pun datanglah berduyunduyun menghampirkan diri, ini mengatakan
mamak, itu mendakwa bersaudara, berkarib famili, rumah-tangga sentiasa dapat
kunjungan dari kiri dan kanan. Tetapi setelah perniagaan jatuh dan kemelaratan
menjadi ganti segala kesenangan itu, tersisihlah kedua laki-isteri itu dari
pergaulan, tersisih dan renggang dari sedikit ke sedikit. Oleh kerana malu ayah
pindah ke Kota Padang, tinggal dalam rumah kecil yang kami diami itu, supaya
namanya hilang sama sekali dari kalangan kaum kerabat itu. Ibu pun menunjukkan kepada saya beberapa doa
dan bacaan, yang menjadi wirid daripada almarhum ayah semasa hidup,
menghamparkan penghargaan yang besar-besar kepada Tuhan seru sekalian alam,
memohonkan belas kasihanNya. Kerana di
dalam umur yang semuda itu ia telah di timpa sengsara yang tiada keputusan,
tidaklah sempat saya meniru meneladani teman sama anak-anak. Waktu teman-teman
bersukaria bersenda gurau, melepaskan hati yang masih merdeka, saya hanya duduk
dalam rumah dekat ibu, mengerjakakan pekerjaan yang dapat saya tolong,
Kadang-kadang ada juga disuruh saya bermainmain, tetapi hati saya tiada dapat
bergembira seperti teman-teman itu, tetapi kegembiraan bukanlah saduran dari
luar, tetapi terbawa oleh sebab-sebab yang boleh mendatangkan gembira itu. Apa
lagi kalau saya ingat, bagaimana ia kerap kali menyembunyikan airmata dekat
saya, sehingga saya tak sanggup menjauhkan diri daripadanya. Setelah badan saya agak besar, saya lihat
banyak anak-anak yang sebaya saya berjaja kuih; maka saya mintalah kepadanya
supaya dia sudi pula membuat kuih-kuih itu, saya sanggup menjualkannya dari
lorong ke lorong, dari satu beranda rumah orang ke beranda yang lain,
mudah-mudahan dapat meringankan agak sedikit tanggungan yang berat itu.
Permintaan itu terpaksa dikabulkannya, sehingga saya akhirnya telah menjadi
seorang anak penjual kuih yang terkenal.
Hatinya kelihatan duka memikirkan nasib saya; anak-anak yang lain waktu
pagi masuk bangku sekolah, saya sendiri tidak. Untuk penjualan kuih-kuih itu
hanya cukup untuk makan sehari-hari, orang lain pun tak ada tempat meminta
Bantu, sakit senang adalah tanggungan sendiri.
Umur saya telah masuk enam tahun, setahun lagi saya mesti menduduki
bangku sekolah, walaupun sekolah yang semurah-murahnya, sekolah desa, misalnya,
tetapi yang akan menolong dan membantu tak ada sama sekali, tetapi ibu
kelihatan tidak putus harapan, ia berjanji akan berusaha. Supaya kelak saya
menduduki bangku sekolah, membayarkan cita-cita almarhum suaminya yang sangat
besar angan-angannya, supaya saya kelak menjadi orang yang berguna dalam
pergaulan hidup. Masa setahun lagi
ditunggu dengan sabar. Bersambung....
PENOLONG
Enam bulan
kemudian. Berhampiran dengan rumah kami ada sebuah gedung besar berpekarangan
yang cukup luas; dalam perkarangan itu ada juga ditanam buah-buahan yang lazat
seperti sauh dan rambutan.Rumah itu lama tinggal kosong, kerana tuannya seorang
Belanda telah balik ke Eropah dengan mendapat pencen. Yang menjaga rumah itu
selama ini adalah seorang jongos tua. Khabarnya konon rumah itu akan dijual,
sebab tuan itu tidak balik lagi ke negeri ini. Selama itu kerap kali kami
datang ke situ meminta buah rambutan dan sauh kepada Pak Leman. Demikian juga
nama jongos tua itu. Tiba-tiba rumah itu
diperbaiki, kerana telah dibeli oleh seorang saudagar tua yang hendak berhenti
dari berniaga. Ia akan hidup pada hari tua dengan senang, sebagai berehat daripada
pekerjaannya yang berat pada masa ia muda memakan hasil daripada rumah-rumah
sewa yang banyak di Padang dan di Bukit Tinggi, demikian juga sawah-sawahnya
yang luas di sebelah Paya Kumbuh dan Lintau.
Setelah rumah itu selesai diperbaiki, pindahlah orang hartawan itu ke
sana bersama dengan isteri dan seorang anak perempuannya. Di hadapan rumah itu
di atas batu marmar yang licin ada tertulis perkataan; Haji Jaafar. Tiap-tiap pagi saya lalu di hadapan rumah itu
menjunjung nyiru berisi goring pisang, mata saya sentiasa memandang ke
jendela-jendelanya yang berlangsir kain sutera kuning, hendak melihat keindahan
perhiasan rumahnya. Fikiran saya menjalar, memikirkan kesenangan hati orang
yang tinggal dalam rumah itu, cukup apa yang dimakannya dan diminumnya; airliur
saya meleleh bila saya ingat, bahawa kami di rumah kadang-kadang makan,
kadang-kadang tidak. Setelah saya meninggalkan halaman rumah itu, maka dengan
suara yang merawankan hati saya panggilkan jualan saya; "Beli goreng
pisang! Masih panas!" Lama kelamaan tertariklah perempuan yang
setengah tua itu hendak memanggil jualan saya, demikian juga anaknya. Pernah
kedengaran oleh saya ia berkata: " Panggillah Nab kesian juga saya!" Perempuan itu suka memakan sirih, mukanya
jernih, peramah dan penyayang. Pak Leman yang telah menjadi jongos untuk
memelihara perkarangan itu, belum pernah dapat suara keras daripadanya. Anak
perempuannya itu masih kecil, sama dengan saya. Apa perintah ibunya diikuti
dengan patuh, rupanya ia amat disayangi kerana anaknya hanya seorang itu. Sudah dua tiga kali saya datang ke rumah
indah dan bagus itu; setiap kali saya datang bertambah sukanya melihat kelakuan
saya dan belas kasihan akan nasib saya. Pada suatu hari perempuan itu bertanya
kepada saya; " Di mana engkau tinggal anak, dan siapa ayah
bondamu?" " Saya tinggal
dekat sahaja di sini mak"-jawab saya. " Itu rumah tempat kami
tinggal, di seberang jalan. Ayah saya telah mati dan saya tinggal dengan ibu
saya. Beliaulah yang membuat kuih-kuih ini; pagi-pagi saya berjual goreng
pisang dan kalau petang biasanya menjual rakit udang (jengket udang) atau godok
perut ayam." " Berapakah
keuntungan sehari?" tanyanya pula.
" Tidak tentu, mak. Kadang-kadang kalau untung baik dapat setali
(25 sen), Kadang-kadang kalau kurang dari itu, sekadar cukup untuk kami makan
setiap hari…." "
Kasihan…." – katanya sambil menarik nafas. Setelah itu ia berkata pula: " Bawalah
ibumu nanti petang kemari, katakana mak yang baru pindah ke rumah ini hendak
berkenalan dengan ibu." "
Saya mak, ibu saya kurang benar keluar dari rumah." " Suruh lah sahaja kemari, katakan mak
perlu hendak bertemu." "
Baiklah kalau begitu , mak" – jawab saya Setelah itu saya pun pulang,
sampai di rumah saya katakanlah kepada ibu perkataan orang di gedung besar itu.
Mula-mula ibu seakan-akan hendak bertempik, dia agak marah kepada saya,
kalau-kalau saya telah berlangsung mulut menerangkan untung nasib diri kepada
orang lain. Tetapi setelah mendengar keterangan saya, hatinya pun senang. Pada
petangnya takut-takut cemas pergilah dia ke rumah besar itu. Meskipun ibu saya merasa malu-malu dan insaf
akan kerendahan darjatnya, Mak Asiah, demikian nama isteri Engku Haji Jafar
itu, sekali-kali tiada meninggikan diri, sebagai kebiasaan perempuan-perempuan
isteri orang hartawan atau orang berpangkat yang lain. Bahkan ibuku
dipandangnya sebagai saudaranya, segala nasib dirinya dan penanggungan ibu
didengarnya dengan tenang dan muka yang rawan, kadang-kadang ia pun turut
menangis waktu ibu menceritakan hal yang sedih-sedih. Sehingga waktu cerita itu
habis, terjadilah di antara keduanya persahabatan yang kental, harga menghargai
dan cinta menyintai. Semenjak itu saya
sentiasa datang ke rumah itu. Saya sudah beroleh seorang adik yang tidak berapa
tahun kecilnya daripada saya, yaitu anak perempuan di gedung besar itu, Zainab
namanya. Peribahasa yang halus dari Mak
Asiah, adalah didikan juga daripada suaminya, seorang hartawan yang amat
peramah kepada fakir dan miskin. Konon khabarnya, kekayaan yang di dapatnya itu
adalah daripada usahanya sendiri dan titik peluhnya, bukan waris daripada orang
tuanya. Dahulunya dia seorang yang melarat juga, tetapi berkat yakinnya,
terbukalah baginya pintu pencarian. Sungguhpun ia telah kara-raya, sekali-kali
tidaklah ia lupa kepada keadaannya tempoh dahulu, ia sangat insaf melihat
orang-orang yang melarat, lekas memberi pertolongan kepada orang yang
berhajat. Pada suatu pagi saya datang
mendapatkan ibu saya dengan perasaan yang sangat gembira, membawa khabar suka
yang sangat membesarkan hatinya, iaitu esok Zainab akan dihantarkan ke sekolah
dan saya akan dibawa sama. Saya akan disekolahkan dengan belanja Haji Engku
Jaafar sendiri bersama-sama anaknya.
Mendengar perkataan itu bercucuran airmata ibuku kerana sukacitanya,
kejadian selama ini yang sangat diharap-harapnya. Esok paginya, saya saya tidak menjunjung
nyiru tempat kuih lagi, tetapi telah pergi ke sekolah menjunjung batu tulis.
Agaknya dua macam faedah yang akan diambil oleh Engku Haji Jaafar menyerahkan
saya, pertama untuk menolong saya, kedua untuk jadi teman anaknya. Saya pun
insaf, lebih-lebih setelah beberapa nasihat daripada ibuku. Zainab telah saya
pandang sebagai adik kandung, saya jaga daripada gangguan murid-murid yang
lain. Lepas dari sekolah kerapkali saya datang dengan ibu ke rumah besar itu,
kalau-kalau ada yang patut kami Bantu dan kami tolong, kerana kami telah
dipandang sebagai anggota rumah yang besar itu. Umur saya lebih tua daripada Zainab dua
tahun. Meskipun saya hanya anak yang beroleh pertolongan daripada ayahnya,
sekali-kali tidaklah Zainab menganggap saya sebagai orang lain lagi, tidak pula
ia pernah mengangkat diri, agaknya kerana kebaikan didikan ayah-bondanya. Cuma
di sekolah, anak-anak orang kaya kerapkali menggelakkan saya anak yang berjual
goreng pisang telah bersekolah bersama-sama dengan anak orang hartawan. Dua perkataan yang manis, yang timbul
daripada hati yang suci, telah merapatkan kami, perkataan itu ialah abang dan
adik. Sampai sekarang, saya masih teringat nikmat kehidupan dalam dunia
anak-anak yang kerapkali diratapi oleh ahli-ahli sya`ir, yang hanya datang
sekali ke alam manusia selama hidupnya. Waktu itu bila pulang dari sekolah,
saya dan Zainab bersama teman-teman kami yang lain berlari-lari,
berkejar-kejaran dan bermain galah dalam perkarangan rumahnya, memanjat pohon
rambutan yang sedang ranum, kekadang bercari-carian dan bersorak-sorak. Waktu
itu ibuku dan ibunya sedang duduk di beranda belakang; ibuku sentiasa
merendahkan diri, melihat kami yang rasa sukacita. Kadang-kadang waktu petang kami
duduk di beranda muka, membelek buku gambar, bertengkar dan berkelahi, kemudian
damai pula. Hari Minggu kami diizinkan
pergi ke tepi laut. Ke muara atau ke tepi Batang Arau, melihat perahu pengail
yang sedang di lambung-lambungkan gelombang di tengah lautan yang luas, kain
layarnya dipuput oleh angin yang menghantarkannya ke tengah, akan mencari
rezekinya. Negeri Pariaman hijau nampaknya dari jauh, ombak memecah dan
menderum tiada berhenti memukul pasir tepi itu. Di sana kami berlari-larian
mengejar ambai-ambai yang segak dan lekas lari ke sarangnya. Kadang-kadang kami
buat unggunan pasir sebagai rumah-rumah atau masjid-masjid, tiba-tiba datang
ombak yang agak besar, di hapuskannya unggunan yang kami dirikan itu; anakanak
perempuan lari ke tepi menyinsingkan tepi bajunya, takut tersiram air
laut. Waktu orang berlimau, sehari akan
puasa, kami dibawa ke atas puncak Gunung Padang, kerana di sanalah ayahku
berkubur, dan beberapa famili ibu Zainab. Saya disuruh membawa air wangi dalam
botol. Zainab mambawa bunga-bungaan dan ibuku serta ibunya mengiringi dari
belakang. Semuanya masih tergambar
dalam fikiran saya hari ini, masih saya ingat bahawa persaudaraan kami suci dan
ikhlas adanya, dari tahun berganti tahun, sampai kami tamat dari sekolah
pertengahan. Amat besar budi Engku Haji
Jaafar kepada saya, banyak kepandaian yang telah saya peroleh kerana kebaikan
budinya itu. Dari sekolah rendah (H.I.S) saya sama-sama naik dengan anaknya
menduduki Mulo. Tetapi setelah tamat dari sana, sekolah kami tak akan disambung
lagi, kerana sebenarnya didikan ibuku amak melekat kepada diri saya, iaitu
condong kepada mempelajari agama. Zainab pun hingga itu pelajarannya, kerana
dalam adat orang hartawan dan bangsawan di Padang, kemajuan anak perempuan itu
hanya terbatas hingga Mulo, belum berani mereka melebihi dari kebiasaan umum,
melepaskan anak perempuannya belajar jauh-jauh. Setelat tamat dari mulo,
menurut adat, Zainab masuk dalam pingitan, ia tidak akan dapat keluar lagi
kalau tidak ada satu keperluan yang sangat penting, ini pun harus ditemani oleh
ibu atau orang kepercayaannya, sampai datang masanya bersuami kelak. Dan saya, bila sekolah itu tamat, akan
berangkat ke Padang Panjang, sebab Engku Haji Jaafar masih sanggup membelanjai
saya, apa lagi demikianlah cita-cita ibuku.
APAKAH NAMANYA INI?
Saat yang
ditakutkan itu pun telah datang; dengan hati riang, bercampur masyghul, saya
terpaksa meninggalkan bangku sekolah. Riang, kerana saya telah beroleh diploma
dan masyghul kerana berpisah dengan bangku sekolah dan dengan teman-teman.
Ertinya masa gembira, masa menghadapi zaman yang akan datang dengan penuh
kepercayaan, telah habis. Setelah guru
membahagikan diploma kami masing-masing dengan bersorak-sorak kami meninggalkan
perkarangan sekolah, kami bersalam-salaman satu dengan yang lain dan guru
memberi kami peringatan, supaya sekolah kami diteruskan bagi siapa yang
sanggup Anak-anak Belanda dan beberapa
anak saudagar-saudagar yang mampu, dengan megah menyatakan di hadapan teman-temannya,
bahawa sekolah itu akan diteruskannya; setelah habis cuti tahunan, mereka akan
berangkat ke tanah Jawa mengambung pelajarannya. Saya sendiri, tidaklah saya
khabarkan bahawa saya akan menambah pelajaran agama, kerana selama ini
temanteman mengejekkan saya, mengatakan saya gila agama. Yang berasa sedih sangat, adalah anak-anak
perempuan yang masuk pingitan (Terkurung di rumah saja) tamat sekolah bagi
mereka ertinya suatu sangkar yang telah sedia buat seekor burung yang bebas
terbang. Zainab sendiri, semenjak tamat
sekolah, ia pun telah tetap dalam rumah, didatangkan baginya guru dari luar
yang akan mengajar berbagai-bagai kepandaian yang perlu bagi anak-anak
perempuan, seperti menyulam, merenda, memasak dan lain-lainnya. Petang hari ia
menyambung pelajarannya dalam perkara agama.
Saya, tidak beberapa bulan setelah tamat sekolah, berangkat ke Padang
Panjang, melanjutkan cita-cita ibu saya dan kerana kemurahan Engku Haji Jaafar
juga. Sekolah-sekolah agama yang ada di situ mudah sekali saya masuki, kerana
lebih dahulu saya telah mempelajari ilmu umum; saya hanya tinggal memperdalam
pengertian dalam perkara agama saja, sehingga akhirnya salah seorang guru
memberi fikiran, menyuruh saya mempelajari agama di luar sekolah saja, sebab
kepandaian saya lebih tinggi dalam hal ilmu umum daripada kawan-kawan yang
lain. Demikian lah pelajaran itu telah
saya tuntut dengan bersungguh hati, tetapi…. Semenjak mula saya pindah ke
Padang Panjang, sentiasa saya merasa keseorangan. Kian lama saya tinggal dalam
negeri dingin itu, kian terasa oleh saya bahawa saya sebagai seorang yang
terpencil. Keindahan alam yang ada di sekeliling kota dingin itu menghidupkan
kenang-kenangan saya kepada hal-hal yang telah lalu. Gunung Merapi dengan
kemuncak tandikat waktu matahari akan terbenam dan mempertaruhkan jabatan
memberi cahaya kepada bulan, singlang yang sentiasa diliputi dengan kebun-kebun
tebunya yang beriak-riak ditiup angin, semuanya membangkitkan perasaanperasaan
yang ganjil, yang sangat mengganggu fikiran saya. Saya berasa sebagai seorang yang kehilangan,
padahal jika saya periksa penaruhan saya, peti, meja tulis, kain dan baju
semuanya cukup. Teapi badan saya ringan, seakan-akan suatu kecukupan yang telah
kurang. Saya Cuma ingat, bahawa jika
dengan teman-teman sama sekolah saya pergi melihat keindahan air terjun di
Batang Anai atau mendaki Bukit Tuai, atau gua Batu Sungai Anduk, bila masa saya
melihat keindahan ciptaan alam itu, saya ingat alangkah senang hati Zainab jika
ia turut melihat pula. Kerana saya tahu betul bahawa ia seorang anak perempuan
yang dalam perasaannya; waktu sama-sama sekolah, ia sukar benar mendengarkan
nyanyian-nyanyian yang sedih, walaupun nyanyian Barat atau Timur. Bila mana
lalu dihadapan rumahnya seorang buta bersama-sama cucunya yang kecil, kerapkali
ia menitikkan airmata. Bagaimanakah perasaannya kelak jikalau dia ada pula di
tempat yang indah itu? Sentiasa saya
hitung pertukaran hari ke bulan dan dari bulan ke tahun. Apabila cuti sekolah
bagi bulan puasa telah hampir, gembiralah hati saya kerana akan dapat saya
mengadap ibu saya memaparkan di hadapannya bahawa ia sudah patut gembira kerana
anaknya ada harapan akan menjadi orang alim dan dapat pula bersimpuh di hadapan
Engku Haji Jaafar yang dermawan, bahawa pertolongannya ada harapan akan
berhasil, bersimpuh pula di hadapan Mak Asiah kerana dengan pertolongannya saja
saya telah menjadi orang baik. Kemudian dari itu akan dapat pula bertemu dengan
Zainab. Saya akan nyatakan di hadapannya pengalaman yang telah saya dapat
selama pergi menuntut ilmu, dan saya hadiahkan kepadanya gambar dari
"Panorama" keliling kota Padang Panjang yang saya ambil gambarnya
bersama-sama teman sejawat saya. Tentu akan saya terangkan di hadapannya dengan
gembira, dengan besar hati, sehingga ia akan termanggu manggu mendengar cerita
saya, apa lagi ia amat sukar akan dapat keluar dari lingkungan rumahnya. Apabila sekolah saya tutup, segala segala
cita-cita yang telah saya reka selama belajar, dan telah saya susun di jalan
antara Padang Panjang dengan Padang semuanya dapat saya jalankan; ibu saya
menitik airmata kerana kegirangannya, Engku Haji Jaafar tersenyum mendengar
saya mengucapkan terima kasih. Mak Asiah memuji-muji saya sebagai seorang anak
yang berbudi, Cuma ketika berhadapan dengan Zainab dalam rumahnya, mulut saya
tertutup, saya menjadi seorang yang bodoh atau pengecut. " Bila abang pulang?"
Katanya. " Pukul sepuluh pagi
tadi." Jawab saya. " Apa
khabar?Baik?" " Alhamdulillah………."
Setelah itu saya menjadi bingung, tidak tentu lagi apa yang
akan saya terangkan kepadanya. Segala rancangan saya terhadap dirinya yang saya
reka-rekakan tadi, semuanya hilang. Ia melihat tenang-tenang kepada saya,
seakan ada pembicaraan saya yang ditunggunya, tetapi kian lama saya kian gugup,
sehingga sudah lalu hampir lima belas minit, tidak ada diantara kami yang
bercakap. "Mudah-mudahan kelak
selamatlah, dan kerapkali datang kemari kalau masih di rumah"- katanya
pula; lalu ia berdiri dari tempat duduknya, kembali ke pekarangan belakang, ke
dalam pingitan. Saya pun berdiri saya ambil songkok saya sambil menarik nafas
panjang saya pun keluar. Dalam hati,
saya teringat hendak menulis surat kepadanya akan ganti diri saya menerangkan
segala perasaan hati. Surat itu akan saya tulis dengan tulus ikhlas, tidak
bercampur dengan katakata yang dapat menyinggung perasaan hati, baik perkara
cinta atau perkara lain-lainnya, apa lagi surat itu tidak akan diketahui oleh
orang isinya jika ditulis dalam bahasa Balanda. Tetapi ha…saya tak sampai hati,
sebab perbuatan itu hanya sehingga daerah persaudaraan antara adik dan abang,
tidaklah mengapa. Tetapi adalah saya
ini seorang yang lemah, otak saya tak dapat mempengaruhi dan mengendalikan hati
saya, sepandai-pandainya mengatur dan menyusun kata, akhirnya tentu salah satu
perkataan di dalam surat itu terpaksa juga membawa erti lain, padahal dalam
perkara yang halus-halus anak perempuan amat dalam pemeriksaannya. Cinta itu adalah " jiwa" antara
cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta pun mereka
sebagaimana jiwa, ia tidak memperbezakan di antara darjat dan bangsa, di antara
kaya dan miskin, mulia dan papa demikianlah jiwa saya, diluar dari pada resam
basi, terlepas daripada kekang kerendahan saya dan kemuliaannya; saya
merasainya, bahawa Zainab adalah diri saya, Saya merasai ingat kepadanya adalah
kemestian hidup saya. Rindu kepadanya membukakan pintu angan-angan saya
menghadapi zaman yang akan datang.
Dahulu saya tidak pedulikan hal itu, tetapi setelah saya besar dan
berpisah daripadanya, barulah saya insaf, bahawa kalau bukan di dekatnya, saya
berasa kehilangan. Mustahil ia akan
dapat menerima cinta saya, kerana dia langit dan saya bumi, bangsanya tinggi
dan saya daripada kasih sayang ayahnya. Bila saya tilik diri saya, tidak ada
padanya tempat buat lekat hati Zainab. Jika kelak datang waktunya orang tuanya bermenantu,
mustahil pula saya akan temasuk golongan orang yang terpilih untuk menjadi
menantu Engku Haji Jaafar, kerana tidak ada yang akan dapat diharapkan dari
saya, tetapi tuan…. Kemustahilan itulah yang kerapkali memupuk cinta. Setelah puasa habis, saya kembali ke Padang
Panjang. Sebelum berangkat saya datang ke rumahnya menemuinya, menemui ayah dan
ibunya. Daripada ayahnya saya dapat nasihat; " Belajarlah sungguh-sungguh,
Hamid, mudah-mudahan engkau lekas pintar dalam perkara agama dan dapat hendaknya
saya menolong engkau sampai tamat pelajaranmu….." " InsyaAllah Engku"- jawab
saya. Setelah itu saya berangkat;
seketika saya melengung yang penghabisan ke belakang; kelihatan oleh saya
Zainab berdiri di pintu tengah, melihat kepada saya. Di situ timbul pula
kembali sifat saya yang pengecut; saya mengadap ke muka dan saya pun
pergi…… Bersambung....
SEPERUNTUNGAN
Setelah
beberapa lama kemudian, dengan tidak disangka-sangka satu musibah besar telah
menimpa kami berturut-turut. Pertama ialah kematian sekonyong-konyong dari
Engku Haji Jaafar yang dermawan. Ia seorang yang sangat dicintai oleh penduduk
negeri, kerana ketinggian budinya dan kepandaiannya dalam pergaulan; tidak ada
satu pun perbuatan umum di sana yang tak dicampuri oleh Engku Haji Jaafar. Kematiannya membawa perubahan yang bukan
sedikit kepada perhubungan kami dan rumahtangga Zainab. Dia yang telah membuka
pintu yang luas kepada saya memasuki rumahnya di zaman hidupnya, sekarang pintu
itu mahu tak mahu telah tertutup. Sebagai seorang lain, Pertemuan kami tidak
berleluasa seperti dulu lagi. Ah…. zaman semasa anak-anak, dia telah pergi dari
kalangan kami dan tak akan kembali lagi.
Belum beberapa lama setelah budiman itu menutup matanya,datang pula musibah
baru kepada saya. Ibu saya yang tercinta, yang telah membawa saya menyeberangi
hidup bertahun-tahun telah ditimpa sakit, sakit yang selama ini telah
melemahkan badannya, iaitu penyakit dada. Kerapkali Zainab dan ibunya datang
melihat ibuku, dan duduk dekat kepalanya, sedang saya duduk menjaga dengan diam
dan sabar. Kerapkali juga Mak Asiah berkata; " Ah luka lama yang belum
sembuh sekarang datang pula yang baru. Belum lama saya menjagai suami saya
sakit, sekarang saya mesti melihat sahabat saya yang menanggung sakit.
Mudah-mudahan ia lekas sembuh."
Waktu itu Zainab diam dalam menungnya, di hadapan ibu yang sedang sakit,
kerapkali ia melihat kepada saya dengan muka yang tenang, dan agaknya
bersertaan dengan nasib yang ditanggungnya sendiri. Tetapi sepatah kata pun tak
keluar daripada mulutnya dan saya pun melihat pula, sehingga kedua mata kami
bertemu dan dari dalam ruang-ruang mata yang hitam, seakan-akan terbayang
berulang-ulang beberapa perkataan yang penting, meskipun lidah tiada sanggup
menunjukkan ertinya. Mak Asiah pergi
bersama Zainab, di meja mereka letakkan sepinggan bubur yang telah didinginkan,
ditutup dengan sebuah piring kecil untuk ibu, kerana dia tak kuat makan nasi.
Ketika ia akan pergi, ia berkata:" Jagalah ia baik-baik, jika ia bangun
kelak, berilah bubur ini barang sesenduk pun." " Baiklah mak"-kata saya.
Pintu mereka tutupkan baik-baik dan mereka pun pergi.
Setelah beberapa saat kemudian ibuku mengembangkan matanya; di dalamnya hanya
kelihatan tinggal cahayaa dari kekerasan hati, padahal Kekuatan telah habis
sama sekali. Dicarinya saya dengan
matanya yang telah kabur, tangannya yang telah tinggal jangat pembalut tulang
itu mencapai-capai ke kiri ke kanan mencari tangan saya, dengan segera saya
berikan tangan kanan saya, dipegangnya erat-erat dan dibawanya kemulutnya
seraya diciumnya, lama sekali; dari matanya titik airmata yang panas. " Hamid"- katanya, rupanya
kekuatan kembali sedikit; " Ibu hendak berbicara dengan engkau, penting
sekali, nak!" " Lebih baik
ibu diamkan dahulu, agaknya ibu terlalu payah." " Tidak, Mid, kekuatan ibu dikembalikan
Tuhan untuk menyampaikan bicara ini kepadamu." " Apakah yang ibu maksudkan?" " Sebagai seorang yang telah lama hidup,
ibu telah mengetahui suatu rahsia pada dirimu." " Rahsia apa ibu?" " Engkau cinta kepada Zainab!" " Ah, tidak ibu, itu barang yang amat
mustahil dan itulah yang sangat anakanda takuti. Anakanda tak cinta padanya dan
takut akan cinta, anakanda belum kenal " cinta." Anakanda tahu bahawa
jika anakanda menyerahkan cinta kepadanya, takkan ubahnya seperti seorang yang
mencurahkan semangkuk air tawar ke dalam lautan yang amat luas; laut tak akan
berubah sifatnya kerana semangkuk air itu." " Wahai anakku, dari susunan katamu itu
telah dapat ibu membuktikan bahawa engkau sedang diserang penyakit cinta, takut
akan kena cinta, itulah dia sifat daripada cinta; cinta itulah yang telah
merupakan dirinya menjadi suatu perbuatan, cinta itu kerapkali berupa putus
harapan, takut, cemburu, hiba hati terkadang-kadang berani. Di hadapan ibumu
yang telah lama merasai pahit dan manis kehidupan tidaklah dapat engkau
sembunyikan lagi. Mataku telah kabur, tetapi hatiku masih
terang-benderang." " Anakku
…… sekarang cintamu masih bersifat angan-angan, cinta itu kadang-kadang hanya
menurutkan perintah hati, bukan menurut pendapat otak. Dari belum berbahaya
sebelum ia mendalam, kerapkali kalau yang kena cinta tak pandai ia merosakkan
kemahuan dan kekerasan hati lelaki. Kalau engkau perturutkan tetap engkau
menjadi seorang anak yang berputus asa, apa lagi kalau cinta itu tertolak,
terpaksa ditolak oleh keadaan yang ada di sekelilingnya….. " Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu,
jangan timbul-timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan juga, bahawa emas tak
setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang." " Ayahnya, orang yang telah memenuhi
cita-cita kita dengan nikmat, sekarang tak ada lagi, ertinya telah putus tali
yang memperhubungkan kita dengan rumahtangga orang di sana. Meski pun ibu
Zainab seorang yang penuh dengan budi pekerti. Tentu saja kebaikannya kepada
kita tidak lagi sebagai suaminya hidup. Apa lagi famili-famili mereka yang
bertali darah sudah banyak yang akan turut mengatur keadaan pergaulan
rumahtangga itu, iaitu orang-orang baru yang tidak kenal akan kita." " Memang anak,….. cinta itu "
Adil" sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak
memperbeza-bezakan antara raja dengan orang meminta-minta, tiada menyisihkan
orang kaya dengan orang miskin, orang mulia dengan orang hina, bahkan
kadang-kadang tidak juga berbeza baginya antara bangsa dengan bangsa, tetapi
aturan pergaulan hidup, tiada membiarkan yang demikian itu berlaku, orang
sebagai kita ini telah dicap dengan darjat " Bawah" atau "
Kebanyakkan" sedang mereka diberi nama " cabang atas"; cabang
atas ada kalanya kerana pangkat dan ada kalanya kerana harta benda. Cincin emas
orang sayang hendak memberi bermatakan kaca, tentu dicarikan orang, biar lama,
permata intan berlian, atau zamrud dan nilam yang telah diasah oleh orang
rantai perintang-perintang hatinya, kerana lama menanggung dalam penjara." " meski pun Zainab suka kepada engkau….
Kerana agaknya batinnya suci daripada perasaan takbur dan mengangkat dirinya,
tidaklah langsung kalau ibunya tak suka. Diletakkan ibunya suka, bermuafakat
orang itu dahulu dengan kaum kerabat, handai dan taulan. Kalau mereka tak
sepakat, waktu itulah kelak kau diserang oleh putus asa, oleh malu, dan
kadang-kadang memberi melarat kepada jiwamu. Sebab api masih belum besar tidak
engkau padami lebih dahulu." "
Tidak ada yang lebih baik untuk melupakan hal itu sebelum ia mendalam, sebab
cinta kepada orang yang demikian, adalah cinta arwah ayahmu hendak kembali ke
dunia, kerana ia berbesar hati melihat engkau telah besar. Ia tahu dan melihat
segala apa yang kejadian dalam dunia ini, dan ia ingin sekali hendak datang.
Tetapi sayang…. Alam dunia telah terbatas jauh sekali dengan alam
barzakh….." Lama saya termenung
mendengarkan perbicaraan ibu itu, pertama kerana amat dalam penyelidikannya
kepada faham hidup ini, kedua memikirkan kekuatan jiwanya yang timbul, seakan-akan
malaikat yang memimpin dia sedang berbicara, yang tidak saya sangka-sangka akan
sejelas itu. Beberapa saat antaranya saya pun menjawab:" Terima kasih,
ibu, nasihat ibu masuk benar kedalam hatiku, semuanya benar belaka, sebenarnya
sudah lama pula anakanda merasa yang demikian, sehingga dengan hati sendiri
anakanda berjanji hendak melupakannya, yang amat ajaib ialah peperangan otak
dengan hati. Tetapi bila kelihatan rumahtangga, atau kelihatan rupanya sendiri,
dan kadang-kadang bila namanya disebut orang hati ini lupa akan perintah otak,
ia kembali berdebar, ia surut kepada kenang-kenangannya yang lama. Inilah yang
kerapkali mengalahkan anakanda."
" Ah, anakku, pandai benar engkau mewartakan nasibmu kepada ibumu!
Mengapa engkau segila itu benar, pada hal agaknya engkau belum mengetahui
bagaimana pula perasaan Zainab kepada dirimu?" " Wahai ibu, Cuma anakanda tahu bahawa
cintaku mendapat sambutan dengan semestinya, agaknya tidaklah separah ini benar
luka hatiku, kerana cinta yang dibalas itulah ubat yang paling mujarab bagi
seorang anak muda dalam hidupnya, tak akan lebih pintanya daripada itu, hati
anak muda akan besar dan merasa beruntung, jika anakanda ketahui bahawa airmata
anakanda yang selama ini telah banyak tercurah tidak bagai air yang tenggelam
di pasir; bahawa pengharapan dalam menuju hidup tak terhambat ditengah jalan;
bahawa cita-cita hendak memandangi langit tidak di halangi oleh awan. Cinta
anakanda kepadanya bukan mencintai tubuhnya dan bentuk badannya, tetapi jiwa
anakandalah yang mencintai jiwanya, kecintaan anakanda bukan dipeterikan oleh
kebiasaan bergaul dan bukan pula kerana kepandaian menyusun surat-surat
kiriman. Kebebasan pergaulan bisa ditutupi dengan perangai yang dibuat-buat dan
kepintaran mengarang surat dapat pula menyembunyikan kepalsuan hati. Anakanda
menyintai Zainab kerana budinya; di dalam matanya ada terkandung suatu lukisan
hati yang suci dan bersih."
" Anakku, sudah tinggi fikiranmu rupanya, sudah dapat
engkau menerangkan perasaan hati dengan perkataan yang cukup, sudah menurun
pada dirimu kelebihan ayahmu. Ibu tak dapat menyambung perkataan lagi…..
perkataanmu hanya ibu sambut dengan airmata. Hanya kepada Tuhan ibu berharap,
mudah-mudahan Dia memberikan anugerah dan perlindungan akan dirimu. Dia yang
telah menanamkan perasaan itu ke dalam hatimu, Dia pula yang berkuasa
mencabutnya. Mudah-mudahan itu hanya suatu khayal, suatu angan-angan yang
kerapkali mempengaruhi hati anak muda, yang dapat hilang kerana pergantian
siang dan pertukaran malam."
" Mudah-mudahan," jawab saya.
Demikianlah nasihat kepada saya, setelah itu kekuatannya tak ada lagi.
Dari saat ke saat, hanya kelihatan kepayahannya menyelesaikan nafas yang turun
naik. Kadang-kadang dilihatnya saya tenang-tenang dan dingangakan mulutnya
sedikit minta minum. Ubat-ubatnya tak memberi faedah lagi. Tidak beberapa malam
setelah dia memberi nasihat itu, datanglah masa yang ditunggu-tunggunya, masa
berpindah daripada alam yang sempit kepada alam yang lapang. Sementara saya
asyik meminumkan ubat, di tangan kanan saya terpegang sudu dan di tangan kiri
terpegang gelas. Ia melihat kepada saya dengan tenang, alamat berpisah yang
akhir. Dari mulutnya keluar kalimah suci, bersamaan dengan kepergian nyawanya
ke dalam alam yang baqa', yang di sana tempat manusia lepas daripada segala
penyakit. Saya tercengang dan
seakan-akan bingung, di tangan kanan saya sudu masih terpegang, di tangan kiri
saya berisi ubat; saya lihat ke atas meja, di sana terletak beberapa botol yang
telah kosong dan ramuan dukun yang telah layu, limau manis yang dihantarkan
oleh Zainab pagi hari itu baru diusiknya seulas, lebihnya masih tinggal
terletak di atas meja. Waktu itulah baru saya insaf bahawa itu bukan perkara
sudu, gelas, bukan perkara ubat ramuan, tetapi perkara ajal sematamata….. Sekarang saya sudah tinggal sebatang kara di
dunia ini! Bersambung....
TEGAK DAN RUNTUH
Telah lalu
kejadian itu dan dia telah memberi kesan ke dalam jantung saya; rupa-rupanya
kedukaan dan cubaan mesti diturunkan kepada manusia secukup-cukupnya dan
sepuas-puasnya, menanglah siapa yang tahan.
Sejak kematian itu tidak beberapa kerap lagi saya datang ke rumahnya,
saya karam dalam permenungan, memikirkan hidup saya di belakang hari, sebatang
kara di dunia ini. Pada suatu petang
sedang matahari akan tenggelam ke dasar lautan di Batang Arau, di antara Hujung
Gunung Padang, di celah-celah ombak yang memecah ke atas pasir yang putih di
Pulau Pandan, di waktu saya sedang berjalan seorang diri di pesisir Batang Arau
yang indah, melihat perahu keluar masuk, tiba-tiba...... kelihatan oleh saya sebuah perahu tumpangan
datang dari seberang, di atasnya duduk tiga orang perempuan yang agak tua,
bertudung kain bugis halus, setelah perahu kecil itu hampir, keluar dari
dalamnya perempuan-perempuan itu, seorang di antaranya ialah Mak Asiah sendiri,
ia lekas melihat saya, " Oh, engkau Hamid? Mengapa di sini?"
Katanya. " Berjalan-jalan
emak," jawabku; " Dan emak dari mana?" " Dari menziarahi kubur bapamu….mengapa
engkau tak datang ke rumah semenjak ibumu meninggal?" Kerana Engku Haji
Jaafar tiada lagi, akan engkau alangi saja datang ke rumah? " Tidak emak, Cuma kematian yang
bertimpa-timpa itu agak mendukacitakan hatiku, itu sebab saya kurang benar
keluar rumah. " Tak boleh begitu,
Hamid; sebabnya engkaulah yang mesti " Baiklah
mak." " Saya tunggu, ya?" " Baik, mak!" Setelah itu ia pun pergi di tengah jalan,
sebelum mereka naik dari sampan, rupanya pembicaraan mereka terhadap diri saya
saja. Kerana tak berapa jauh langkahnya, perempuan-perempuan tua yang lain
semuanya menoleh kepada saya sebagai rupa orang menunjukkan belas kasihan. Besoknya janji itu pun saya tepati. Wahai tuan, hari itulah masa yang tak dapat
saya lupakan! Saya datang ke rumah itu, rumah tempat saya bersenda gurau dengan
Zainab di waktu kecil, rumah itu seakan- akan hilang semangat dan memang
kehilangan semangat, kerana bekas-bekas kematian masih kelihatan nyata. Pintu
luar terbuka sedikit dan saya ketuk pintunya yang mengadap ke dalam; pintu
terbuka…. Zainab yang membukakan.
" Abang Hamid!" katanya.
Waktu itu kelihatan nyata oleh saya mukanya merah, nampak sangat
gembiranya melihat kedatangan saya. Baru sekali itu dan baru saat itu selama
hidup saya melihat mukanya demikian, yang tak pernah saya gambarkan dan
tuturkan dengan susunan kata, pendeknya wajah yang memberikan saya penuh
pengharapan. " Bang Hamid!"
katanya menyambung perkataannya, " Sudah lama benar abang tak kemari, lupa
agaknya abang kepada kami!" Gugup
saya hendak menjawab; saya pintar mengarang khayal dan angan-angan tetapi bila
sampai di hadapannya saya menjadi seorang yang bodoh. " Tidak, Zainab" jawabku dengan
gugup; " Tetapi….. bukankan kita sama-sama kematian?" " Memang, kematian itulah yang
sepatutnya menjadikan abang kerap kemari." Seketika itu mukanya kembali ditekurkannya
menghadapi kakinya, tangannya berpegang ke pinggir pintu, rambutnya yang halus
menutupi sebahagian keningnya dan sepatah kata pun dia tidak berbicara
lagi. " Zainab…" kataku pula.
" Sebetulnya tidak saya…. Pernah lupa datang kemari, barangkali engkaulah…
agaknya yang … lupa kepadaku."
Mendengar itu ia bertambah menekur, tak berani ia mengangkat muka lagi,
dan saya pun gugup hendak menambah perkataan, memang bodoh saya ini, dan
pengecut! Tiba-tiba dalam saya
menyediakan perkataan yang akan saya katakana pula dalam sedang merenungi
kecantikan Zainab, kedengaranlah dari halaman tapak kaki emak Asiah menginjak
batu; Zainab mengangkat mukanya seraya berkata: " Itu ibu
datang." Saya masih dalam
kebingungan, Zainab lalu kehadapan saya mengadap kedatangan ibunya. Ketika
sampai ke beranda dia berkata " Sudah lama Mid?" " Baru sebentar, mak"
jawabku. Saya disuruh duduk, Zainab
dengan segera pergi ke belakang memasak kopi sebagaimana kebiasaannya. "
Hampir mak terlupa akan janji kita. Tadi mak pergi ke rumah orang sebelah
kerana tiada lama lagi dia akan mengahwinkan anaknya; jadi dari sekarang sedang
bersiap-siap menyediakan yang perlu, maklumlah tetangga, perlu
bantu-membantu." Saya dengarkan
perkataannya, tetapi fikiran saya masih tetap ingat kepada kejadian tadi.
Fikiran saya menjalar kemana-mana, memikirkan tegur Zainab dan mukanya yang
merah ketika mulamula melihat saya; hanya suatu kejadian yang tiba-tibakah itu,
atau adakah dia merasai apa yang saya rasai? Dalam pada itu Mak Asiah masih
tetap membicarakan beberapa perkara menyebutnyebut jasa suaminya, menyebut
kebaikan ibuku. Akhirnya sampai pembicaraan kepada Zainab. " Bagaimanakah fikiranmu Hamid, tentang
adikmu Zainab ini?" " Apakah
yang emak maksudkan' Tanya saya. "
Semua keluarga di darat (darat adalah sebutan dari Padang Halus) telah
bermuafakat dengan emak hendak mempertalikan Zainab dengan seorang anak saudara
almarhum bapamu, yang ada di darat itu, dia sekarang sedang bersekolah di Jawa.
Maksud mereka dengan perkahwinan itu supaya hartabenda almarhum bapanya dapat
dijagai oleh familinya sendiri, oleh anak saudaranya, sebab tidak ada saudara
yang lain, dialah anak yang tunggal. Pertunangan itu telah dirunding oleh orang
yang sepatutnya, jika tiada aral melintang, bulan depan hendak dipertunangkan
dahulu, nanti apabila tamat sekolahnya akan dilangsungkan perkahwinan. Hal ini
telah mak rundingkan dengan Zainab, tetapi tiap-tiap ditanya dia menjawab belum
hendak bersuami, katanya, tanah perkuburan ayahnya masih merah, airmatanya
belum kering lagi. Itulah sebabnya engkau disuruh kemari, akan emak lawan
berunding, mak masih ingat pertalian engkau dan Zainab masa engkau kecil dan
masih sekolah; engkau banyak mengetahui tabiatnya apalagi engkau tidak
dipandangnya sebagai orang lain, sukakah engkau Hamid, menolong emak?"
Lama saya termenung….. " Mengapa
engkau termenung, Hamid? Dapatkan engkau menolong emak, melembutkan hatinya dan
memujuk ia supaya mahu? Hamid!.... emak percaya sepenuh-penuhnya kepadamu
sebagai Allahyarham bapamu percaya kepada engkau!' " Apakah yang akan dapat saya Bantu
mak? Saya seorang yang lemah. Sedangkan ibunya sendiri tak dapat mematah dan melembutkan
hatinya apatah lagi saya orang lain, anak semangnya." " Jangan bercakap begitu, Hamid, engkau
bukan emak pandang sebagai orang lain lagi, almarhum telah memasukkan engkau ke
dalam golongan kami, walaupun beragih tetapi tak bercerai. Maka di atas namanya
hari ini, di atas nama Haji Jaafar mak meminta tolong melembutkan hati
adikmu." " Oh itu namanya
perintah, saya kabulkan permintaan mak."
Mukanya kelihatan gembira, meskipun dia tak sempat memperhatikan
bagaimana perubahan muka saya yang telah muram. Kemudian keluarlah Zainab
membawa dua cawan kopi dan beberapa piring kuih. Ibunya melihat kepadanya
dengan kasih dan mesra, kerana pada diri anaknya itulah tergantung
pengharapannya dan penghabisan. " Duduk,
Nab, abangmu Hamid hendak berkata-kata sepatah dua kata dengan
engkau." Saya masih agak bingung
dan Zainab telah duduk dekat ibunya dengan wajah kemalu-maluan. Beberapa minit lamanya tenang saja dalam
ruangan itu tak seorang jua pun di antara kami yang berkata; ibunya seakan-akan
menunggu supaya perkataan itu lekas dimulai, Zainab kelihatan malu tak mahu
melihat muka saya, sedang saya masih termenung memikirkan dari manakah
percakapan itu akan saya mulai. "
Bicaralah, Hamid, amat banyak masa terbuang," kata ibu dengan tiba-tiba.
Sulit sekali untuk memulai pembicaraan itu, sulit menyuruh seorang mengerjakan
suatu pekerjaan yang berat hatinya melakukan, pekerjaan yang berlawanan dengan
kehendak hatinya sendiri. Tetapi di balik itu, sebagai seorang anak muda yang
telah dicurahi orang kepercayaan dengan sepenuhnya, yang sudi mengorbankan jiwa
untuk menyimpan rahsia. Akhirnya hati saya dapat saya bulatkan dan mulai
berkata: " Begini Zainab…. Sudah
lama ayah meninggal, semenjak itu lenganglah rumah ini, tiada seorang pembela
pun yang akan dapat menjaganya. Selain dari itu, menurut aturan hidup di dunia,
seorang gadis perlulah mengikut perintah orangtuanya, terutama kita orang Timur
ini. Buat menunjukkan setia hormatnya kepada orangtuanya, ia perlu menekan
perasaan hati sendiri. Dia mesti ingat sebuah saja, iaitu mempergunakan
dirinya, baik murah atau mahal, untuk berkhidmat kepada orangtuanya." " Sekarang, kerana memikirkan
kemuslihatan rumahtangga dan memikirkan hati ibumu, pada hal hanya sendiri lagi
yang dapat engkau khidmati, ia berkehendak supaya engkau mahu dipersuamikan….
dipersuamikan dengan…kemanakan ayahmu."
Seakan-akan terlepas dari suatu beban yang maha hebat saya rasanya,
setelah selesai perkataan yang sulit itu. Selama saya berbicara Zainab masih
tetap menekur ke meja, tanganya mempermain-mainkan sebuah pontong macis,
diramas-ramasnya dan dipatah-patahnya, belum sebuah juga perkataan keluar dari
mulutnya. Setelah kira-kira lima minit lamanya, barulah mukanya diangkat,
airmatanya kelihatan mengalir, mengalir setitik dua titik ke pipinya yang halus
dan indah itu. " Bagaimana,
Zainab, jawablah perkataanku!"
" Belum abang, saya belum hendak kahwin. " Atas nama ibu, atas nama almarhum
ayahmu." " Belum
abang!" " Sampai hati abang
memaksa aku?" " Abang bukan
memaksa engkau, adik… ingatlah ibumu."
Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya pun terdiam, ia telah menangis
pula. Karam rasanya bumi ini saya pijakkan, gelap tujuan yang akan saya tempuh.
Dua kejadian yang hebat telah membayang dalam kehidupan saya sehari itu, tak
ubahnya dengan seorang yang bermimpi mendapat sebutir mutiara ditepi lautan
besar, sebelum mutiara itu dibawa pulang, tiba-tiba sudah tersedar; meskipun
mata dipaksa hendak tidur, mimpi yang tadi telah tinggal mimpi, ia telah tamat
sehingga itu tidak akan bertambah-tambah lagi.
Selama ini saya masih ragu, adakah Zainab membalas cinta saya; pertemuan
saya dengan dia itu memberikan pengharapan sedikit pada saya, tetapi belum
pengharapan itu dapat saya yakni tibalah penyerahan ibunya yang berat itu. Hanya hingga itu dapat saya ceritakan kepada
tuan apa yang terjadi sehari itu. Setelah itu saya pun pulang ke rumah saya, di
jalan pulang saya rasakan badan saya sebagai bayang-bayang tanah serasa
bergoyang saya pijakkan. Bersambung....
BERJALAN JAUH
Dua kejadian
yang berjuang pada hari itu, cukuplah untuk menentukan tujuan nasib saya;
nikmat hati hanya lalu sebagai khayal belaka. Setelah melayap laksana satu
bayangan, ia pun hilang dan tidak akan kembali lagi. Kepada Tuhan dapatlah saya
menghantarkan satu kesyukuran yang bersih, sebab saya telah dapat memberikan
suatu pengorbanan untuk seorang perempuan yang lemah, saya telah menolongnya,
memujuk anaknya yang keras. Untuk itu
perasaan hati sendiri telah saya tekankan; sungguh besar sekali korban yang
saya berikan, memang kalau diukur dengan fikiran, saya ini hanya pantas menjadi
saudara Zainab, menjadi pembelanya, tetapi cinta mempunyai suatu lapangan yang
lebih luas daripada ukuran fikiran itu. Inilah yang tertulis dalam hati, yang
sukar dilupakan selamanya. Ada suatu jawapan yang tergantung, yang saya sempat
dengar dari mulut Zainab, dan keras persangkaan saya akan dirinya pada hari
itu; itulah yang sentiasa menjadi penyakit pada saya, tetapi menjadi ubat
juga. Kemudian saya insaf, bahawa alam
ini penuh dengan kekayaan. Allah menunjukkan kuasaNya. Tidaklah adil jika semua
makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan menangis pun ada pula. Kita mesti
mengukur perjalanan alam dengan ukuran yang luas, bukan dengan nasib diri
sendiri. Bukankah patut saya syukur dan
terima kasih, sebab seorang perempuan tua dapat saya tolong, saya patahkan hati
anaknya yang hanya satu tempat menumpahkan segala pengharapannya. Kalau kelak
terjadi perkahwinan Zainab dengan kemanakan ayahnya dan mereka hidup beruntung,
sehingga Mak Asiah waktu menutup mata tidak merasa bahawa ia masih ada hutang
piutang dengan anaknya, bukankah saya telah mengusahakannya? Memang, mula-mula hati itu mesti bergoncang;
bukahkan loceng-loceng dirumah juga berbunyi keras dan berdengung jika kena
pukul? Tetapi akhirnya, dari sedikit ke sedikit, dengung itu akan berhenti
juga. Cuma saja saya mesti berikhtiar, supaya luka-luka yang hebat itu jangan
mendalam kembali, saya mesti berusaha, supaya ia beransur-ansur sembuh. Untuk
itu saya mesti berusaha, saya mesti meninggalkan Kota Padang, terpaksa tak
melihat wajah Zainab lagi, saya berjalan jauh.
Setelah saya siapkan segala yang perlu dan rumahtangga saya pertaruhkan
kepada salah seorang sahabat handai yang setia, dengan tak seorang pun yang
mengetahui, saya berangkat meninggalkan Kota Padang, kota yang permai dan yang
sangat saya cintai itu, dengan menekankan dan membunuh segala perasaan yang
sentiasa mengharu hati, saya tumpangi kereta yang berangkat ke Siantar. Di kiri kanan saya banyak penumpang lain
yang akan menuju ke kota Medan, setelah saya sampai ke Medan, saya buat surat
kepada Zainab, sesudah hati saya, saya beranikan; itulah surat saya yang
pertama kali kepadanya. Jika kelak ternyata dia tak cinta kepada saya, syukur,
sebab saya tak melihat mukanya yang kesal membaca surat. Tetapi kalau ia nyata
ada mempunyai perasaan sebagi yang saya rasai dan surat itu diterimanya dengan
sepertinya, tentu sekurang-kurangnya saya akan menerima belas kasihannya,
sebagai seorang melarat yang diarak oleh untung nasib saya. Demikian bunyi surat itu masih hafaz oleh
saya: " Menyesal sekali, kerana
sebelum berangkat tak sempat saya bertemu muka dengan adinda lebih dahulu,
maafkanlah adik, kerama amat banyak halangan yang menyebabkan saya tak sempat
datang ketika itu, halangan yang tak sapat saya sebutkan. Barangkali agak sedikit tentu adik bertanya
juga dalam hati, apa gerangan sebabnya abang Hamid berangkat dengan tiba-tiba.
Biarlah hal itu menjadi soal buat sementara waktu, lama-lama tentu akan hilang
jua dengan sendiri. Banyak hal-hal yang
akan saya terangkan dalam surat ini, tetapi tak sanggup pena saya menulisnya.
Hanya dengan surat ini saya bermohon sangat supaya adik menuruti cita-cita ibu.
Jika kelak maksud famili sampai dan adik bersuami; berikan kepadanya kesetiaan
yang penuh. Akan hal diri saya ini,
ingatlah sebagai mengingat seorang yang telah pernah bertemu dalam peri
penghidupanmu, seorang sahabat dan boleh juga disebut saudara yang ikhlas dan
saya sendiri akan memandang tetap engkau sebagai adikku. Jika
pergaulanmu kelak dengan suamimu berjalan dengan gembira dan beruntung,
sampaikanlah salam abang kepadanya. Katakan bahawa di suatu negeri yang jauh,
yang tak tentu tanahnya, ada seorang sahabat yang sentiasa ingat akan kita. Dan
biarlah Allah memberi perlindungan atas kita semuanya. Wassalam abangmu, Hamid,
Demikianlah bunyinya surat yang saya kirimkan. Tiada lama saya di Medan,
saya menuju ke Singapura, mengembara ke Bangkok, belayar terus memasuki
tanah-tanah Hindustan, dan dari Karachi belayar menuju ke Mesir masuk ke Iraq,
melalui Sahara Najad dan akhirnya sampailah saya ke tanah suci ini. Sekarang sudah tuan lihat, saya telah ada di
sini, di bawah lindungan Ka`bah yang suci, terpisah daripada pergaulan manusia
yang lain. Di sinilah saya selalu tafakur memohon kepada Tuhan seru sekalian
alam, supaya ia memberi saya kesabaran dan keteguhan hati menghadapi
kehidupan. Setiap malam saya duduk
beri`tikaf di dalam Masjidil Haram, doa saya telah berangkat ke langit biru,
membumbung ke dalam alam ghaib bersama-sama permohonan segala makhluk yang
makbul. Segala ingatan kepada zaman
yang lama-lama, dari sedikit beransur-ansur lupa juga. Cuma sekali-sekali ia
terlintas difikiran, ketika itu saya menarik nafas panjang, kerana biar pun
luka sembuh dengan kunjung, bekasnya mesti ada juga. Tetapi hilang pula dengan
segera, bila saya bawa tawaf dan sa`ie(berjalan antara Safa dan Marwah), atau
saya bawa bertekun di dalam masjid tengah malam. Sudah hampir datang tamaninah
(ketetapan) ke dalam hati saya menurut persangkaan saya mula-mula, tamatlah
cerita ini sehingga itu.
Bersambung....
BERITA DARI KAMPUNG
Setelah
setahun saya di sini dan waktu mengerjakan haji telah datang. Tuan sendiri yang
mulamula saya kenal semenjak orang-orang yang akan mengerjakan haji dari
tanahair kita. Kemudian sebagai tuan maklum, datanglah pula saudara kita Salleh
ini. Salleh adalah salah seorang teman saya semasa kami bersekolah agama di
Padang dan Padang Panjang; oleh kerana sekolahnya di Padang telah tamat, dia
hendak meneruskan pelajarannya ke Mesir, ia singgah di Mekah ini untuk
mencukupkan rukun. Sekarang ia berangkat ke Medinah, supaya sehabis haji dapat
ia menumpang kapal yang membawa orang Mesir kembali yang sewanya lebih murah
dari kapalkapal lain. Dengan kebetulan sekali,
dia telah memilih syeikh kita menjadi tempatnya, menumpang, sehingga sahabat
lama itu bertemu kembali, setelah kami bercerai selama itu. Wahai tuan….. kedatangannya telah
menghidupkan ingatan kembali kepada yang lama-lama, dia menceritakan kepadaku,
bahawa dia telah beristeri dan isterinya telah sudi melepaskan die belajar
sejauh itu. Padahal mereka baru saja
berkahwin. Dipujinya isterinya sebagai seorang perempuan yang setia, yang teguh
hatinya melepaskan suaminya berjalan jauh, kerana untuk menambah
pengetahuannya. Setelah beberapa hari dia datang, dibawanya saya ke Maala di
atas sebuah bangku di halaman qahwa ia membicarakan akan suatu hal yang sangat
menggerakkan fikiran saya. Sambil
meminum syahi (teh) Arab yang panas dan enak, ia mulai berkata: " Hamid!
Tempoh hari sudah saya katakan, bahawa saya telah beristeri, isteri saya itu
ialah Rosnah..ingatkah engkau akan Rosnah, sahabat karib Zainab?" Saya
pucat mendengar nama Zainab disebutnya. Kerana sudah lama benar saya tiasa
mendengar nama itu disebut orang, kecuali saya sendiri, perubahan muka saya itu
dilihat oleh Salleh sambil tersenyum duka. " Kerapkali isteriku disuruhnya
datang kerumahnya" katanya meneruskan ceritanya. " Kerana hubungan
persahabatan mereka itu yang karib. Rupanya Zainab telah sudi membukakan
rahsiarahsianya yang sulit kepada isteri saya. Yang paling hebat, ialah
seketika pada suatu hari isteri saya datang ke rumahnya, didapatinya Zainab
merenung sebuah album, di dalam album itu terkembang sehelai surat kecil yang
telah lusuh dan lunak, kerapkali dibaca dan dibuka lipatannya. " Setelah
adinda kelihatan olehnya" kata isteriku," album itu ditutupnya dengan
segera dan surat itu disimpannya baik-baik ke dalam laci mejanya, setelah itu
dia kelihatan kepada adinda dengan tenang, wajahnya muram, matanya berbekas
tangis dan dia menarik nafas panjang".
" Tiada tahan rupanya hati isteriku melihat kejadian
itu, maklumlah kaum perempuan itu seperasaan, lalu ia berkata: "
Zainab!.... mengapa engkau menangis pula, sahabat? Tidakkah di rumah yang
sepermai ini sarang orang yang berdukacita.Di rumah yang indah-indah dan gedung
yang permai, yang di kiri kanannya dikelilingi oleh kebun-kebun yang subur,
cukup dengan orang-orang gajian yang setia, tiadalah patut terdapat orang yang
mengalirkan airmata. Disana tidaklah ada kesedihan dan kedukaan." Zainab menjawab: " Salah sekali
persangkaanmu, sahabat! Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk
jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun. Airmata adalah kepunyaan
bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang yang melarat yang tinggal di
dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang
luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni gudang-gudang yang permai
dan istana-istana yang indah. Bahkan di situlah lebih banyak orang menelan
ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan, dilingkung oleh
tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang di
luar penuh dengan kepahitan."
" Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas, dapat ia
menerangkan fahamnya yang tertumbuk kepada alam yang sekelilingnya, dapat pula
mereka lupakan dan menghilangkan. Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini,
kedukaan akan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan seorang, rumah dan
gedung menjadi kubur kesedihan yang tiada berhujung". Airmata Zainab
kembali jatuh. " Mengapa engkau menangis juga, sahabatku! Kesedihan apakah
yang engkau tanggungkan? Teringatkah engkau kepada ayahmu? Kalau demikian,
engkau salah, Zainab! Lupa engkau agaknya, bahawa kedukaan itu tumbuh diapit
oleh dua rumpun kesukaan." " Bukan demikian, sahabat!" jawabnya.
" Buat diriku sendiri, Tuhan telah mentakdirkan berlainan dari orang.
Kedukaanku tumbuh di antara dua kedukaan pula. Dahulu saya telah berduka, sekarang
berdukacita dan kelak akan terus berluka hati." " Engkau mengesali
nasib, Zainab!" " Menyesali nasib saya tidak, menyedar untung saya
bukan, melainkan yang sebetulnyalah yang saya katakan." " Zainab….
Kalau tidak akan merbahaya benar, nyatakanlah kepadaku, apa yang menjadi sebab
dukacitamu sebesar itu benar. Kerana sudah agak lama saya melihat mukamu muram,
sehingga airmata saya sendiri kerapkali bersyarikat, tercurah untuk
kesedihanmu, sahabat! Saya akan meratap menuruti ratap engkau, kerana tidak ada
kepandaian kita kaum perempuan selain dari menangis." Laksana seorang anak
yang memohon dikasihani, dipeluknya Rosnah, seketika lamanya kedua sahabat itu
berpeluk-pelukan, bertangis-tangis tiada berkata- kata. " Sudahlah,
zainab, ingatlah akan dirimu, kelak engkau, demikian pun saya, ditimpa oleh
penyakit lain. Ceritakanlah kepada saya hal yang engkau rahsiakan itu,
mudah-mudahan kerana sesudah ada tempat menerangkan, tanggungan itu supaya
ringan sedikit, sebab beban untuk sendiri telah dibahagi dua." Mula-mula
termenung, setelah beberapa saat lamanya ia pun berkata: Bersambung....
HARAPAN DALAM PENGHIDUPAN
"
Ingatkah engkau, Ros, bahawa duhulu ada tinggal berhampiran rumahku ini seorang
anak muda bernama Hamid?" " Masihkah aku tak ingat, anak muda yang
baik budi dan beroleh pertolongan daripada almarhum ayahmu." " Ah,
Ros, saya amat kasihan kepada orang muda itu, dia seorang muda yang hidup
miskin, mendapat bantuan daripada ayahku, semasa usianya baru 4 tahun ayahku yang membantunya, dan seketika
sekolahnya akan lanjut, ayahku meninggal pula, kemudian meningal ibunya.
Rupanya kerana ia sentiasa dirundung malang, sangatlah dukacita hatinya,
berbulan-bulan khabar tidak berita pun tidak, budinya baik sekali, pekertinya
tinggi dan mulia; memang dalam kalangan orang-orang yang dirudung malang itu
kerapkali timbul budi pekerti yang mulia, timbul dengan baik dan suburnya,
bukan kerana latihan manusia. "
Bertahun-tahun lamanya kami hidup seperti adik beradik; maka pada dirinya saya
dapati beberapa sifat yang tinggi dan terpuji, yang agaknya tidak ada pada
pemuda-pemuda lain, baik dalam kalangan bangsawan atau hartawan sekalipun.
Sampai kepada saat yang paling akhir daripada kehidupan ayahku, belum pernah ia
menunjukkan suatu perangai yang patut dicela, sehingga ibu-bapaku amat memuji
akan dia. Ia tahu benar akan kewajipannya. Wahai Ros, saya tertarik benar
kepadanya dan kepada tabiatnya. Ia suka sekali bersunyi-sunyi, memisahkan diri
daripada pergaulan ramai, laksana seorang pendita bertapa yang benci akan dunia
lata ini. Kerapkali ia pergi bermenung ke tepi pantai samudera Hindi yang luas
itu, memerhatikan pergelutan ombak dan gelombang, seakan-akan fikirannya
terpaku telah terpaku kepada keindahan alam ini. Bila dia pulang ke rumah
ibunya yang dicintai, ia menunjukkan khidmatnya dengan sepertinya bila dia
bertemu dengan saya, buah katanya tiada keluar dari lingkar kesopanan, tahu ia
menimbang hati dan menjaga kata.
Sebagai yang kau tahu, kita pun tamat dari sekolah, maka adat-istiadat
telah mendinding pertemuan kita dengan lelaki yang bukan muhrim bukan saudara
atau famili karib, waktu itulah saya merasai kesepian yang sangat. Saya merasa
kehilangan seorang teman yang sangat saya takjupi. Keadaan memisahkan saya
dengan dia, tiada dapat lagi saya mendengarkan buah tuturnya yang lemah lembut.
Waktu itulah saya insaf, bahawa saya sudah ditimpa suatu perasaan yang ganjil,
saya lengang dan sunyi, ingatan saya sebentar-sebentar kembali kepada Hamid
saja. " Engkaukan tahu, Ros, Hamid
tidak begitu gagah, tidak sepantas dan segalak pemuda lain, tetapi hati kecilku
amat kasihan kepadanya, agaknya, hidupnya yang sederhana itulah yang telah
memaut hati sanubariku. Saya sangat hiba kepadanya kerana saya merasa tak ada
orang lain yang akan menghibai dirinya. Hairan Ros, saya telah karam di dalam
khayal, di dalam angan-angan.
Kadang-kadang saya singkirkan dia dari fikiran, kerana timbul memikirkan
takburku memikirkan darjatku, saya merasai ketinggian dan kemuliaan diriku,
lebih daripada kedudukan darjat Hamid dan saya takut terjatuhnya ke dalam
jurang cinta, tetapi orang mengkhabarkan bahawa takut itupun setengah daripada
rupa cinta juga." Maka di antara
awan yang gelap gelita dan angin badai yang berhembus semenjak pertengahan
malam, tiba-tiba cahaya fajar pun naiklah, itulah kenang-kenangan dan
pengharapan, daripada cinta dan rindu dendam. Sebenarnya Ros…..saya cinta
kepada Hamid. Biar engkau tertawakan
daku, sahabat, biar mulutmu tersenyum simpul, saya akan tetap berkata, bahawa
saya cinta kepada Hamid. Ia tidak berpembela, tidak ada orang yang akan sudi
menyerahkan diri menjadi isterinya, kerana dia miskin, tidak ada gadis yang
akan sudi mempedulikan dia, kerana rupanya tak gagah. Itulah sebabnya dia saya
cintai, hartaku ada sedikit, cukup untuk membantu cita-citanya, kerana saya
lihat dia akan menjadi seorang ahli seni jika ada yang membantu. Buat saya
dialah orang yangpaling pantas dan cekap. Meskipun bagi orang lain agaknya
tidak. Saya leluasa melihatnya lalu lintas di halaman rumah, meskipun dia tak
melihat saya. Jika sekali-sekali dia datang mengunjungi ibuku, aku dengarkan
perkataannya yang penuh dengan ilmu dan pengetahuan itu baik-baik. Pada suatu hari, hari yang tak dapat saya
lupakan, ia datang kerumah ini menemui ibuku. Ketika itu ibu tiada di rumah,
tiba-tiba saya bertemu muka dengan dia. Rupanya ada perkataan yang hendak
dikatakannya, mulutnya masih gugup dan tak lancar, rasa-rasa terdengar olehku
sekarang: " Zainab, sebenarnya tidaklah pernah saya lupa hendak datang
kemari, barangkali engkaulah yang agak lupa kepadaku." Alangkah nikmatnya rasa hatiku mendengar
perkataannya itu, tetapi belum sempat saya menyusun kata untuk menjawab, ibu
datang, perkataan kami terhenti sehingga itu. Badanku serasa bayang-bayang
perkataannya menjadi teka-teki bagi hatiku, adakah tutur katanya itu daripada
rasa pertalian adik dan abang saja atau daripada kesucian cinta? " Agaknya, engkau pandang rendah saya
ini, Ros, mencintai seorang yang setia bersekedudukan dengan diri sendiri, dan
jauh tak tentu tempatnya." "
Waktu itu isteriku menjawab," kata salleh, ujarnya: " Tidak Nab,
cinta itu adalah perasaan yang mesti ada tiap-tiap diri manusia, ia laksana
setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci, Cuma tanahnya lah yang
berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah oleh kerana
embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain
perangai yang tercela. Tetapi kalau ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan
tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budipekerti yang tinggi dan lain-lain
perangai yang terpuji. Saya tiada hendak menghinakan engkau kerana jatuh cinta
padanya, wahai sahabatku Zainab, dan saya banyak pula membaca dalam buku-buku,
bahawa biasa cinta yang suci bersih itu tidaklah tumbuh dengan sendirinya,
kerana jiwa itu bertemu dengan batin, dalam azal (baka) kejadian Allah sebelum
badan kasar manusia ini berkenalan. Itulah kuasa ghaib yang perlu kita
percayai. Sebab itu saya percaya bahawa cintamu tak jatuh ke pasir tentu saja
Hamid mencintai engkau pula; tidaklah jiwa engkau tertarikh mengingat akan dia,
kalau kiranya jiwanya tak mengingat engkau pula. Hati orang yang bercinta
mempunyai mata, ia dapat melihat barang yang tak dilihat oleh orang
lain." " Ah" jawab
Zainab " Itu Cuma kira-kira dan agak-agak belaka, agak-agak dan kira-kira
tak dapat dipercayai, masakan orang yang berpisah sangat jauh, tak berhubungan
surat sedikit jua pun akan ingat kepada orang yang ditinggalkannya." " Jangan begitu, Zainab, engkau tiada
percaya percakapanku, kerana hatimu terlalu dipengaruhi oleh angan-anganmu.
Percayalah bahawa Hamid ingat pula akan engkau." " Wahai……kesana rumit..ke sini rumit,
Ros; saya percayai bahawa dia ingat kepadaku sebagaimana saya ingat kepadanya,
entah agaknya saya menggantang-gantang asap. Tidak saya percayai, hati saya
bertambah luka. Saya tahu mengingat orang jauh itu penyakit, tetapi saya pun
takut penyakit itu akan hilang dari hati saya….aduh gusti Allah!!" Setelah itu terhenti sendiri percakapan
kedua sahabat itu. Yang kedengaran hanya sedu-seduan dua orang seperasaan dan
yang kelihatan ialah orang yang keluh kesah putus asa." Sekianlah cerita yang dibawa oleh sahabat
kita Salleh itu. Tidak berapa lama ia menerima riwayat ganjil itu dari
isterinya, ia pun berangkat. Rupanya dengan takdir Tuhan, kami pun bertemu di
tanah suci ini, pertemuan yang tidak di sangka-sangka sedikit pun. " Barangkali terganggu perjalanan
jiwamu menuju bakti kesucian kerana mendengar berita yang saya bawa itu"
kata Salleh. " Tetapi saya sebagai orang yang tiada tahan memegang rahsia
sehingga terkatakan juga olehku kepada engkau, dan beruntung engkau
Hamid…..Berbahagia sekali." "
Apakah keuntungan dan bahagianya cinta yangtak berpengharapan? " Tanya
saya dengan tiba-tiba kepadanya.
" Bukanlah cinta itu sudah satu keuntungan dan satu
pengharapan Hamid?" Tanyanya pula…..
Setelah itu saya menerangkan berita itu, tidak berapa hari kemudian
Salleh mengirimkan sepucuk surat buat isterinya Rosnah menerangkan pertemuan
kami dengan tiba-tiba itu…..
Tuan!….telah bertahun-tahun saya berjalan di dalam gelap gelita. Tidak
tentu arah yang saya tempuh, tidak kelihatan suatu bintang di halaman langit
akan saya jadikan pedoman dalam menuju perjalanan itu demi setelah sampai
berita yang demikian. Seakan-akan kegelapan itu terang sedikit ke sedikit,
sebab dari Timur melintang cahaya fajar, cahaya yang saya nanti-nanti, cahaya
itu lebih benderang dari cahaya suria, lebih nyaman dari cahaya bulan dan lebih
dingin dari cahaya kelap-kelip bintang-bintang. Saya hidup laksana seorang buangan yang
tersisih pada suatu padang belantara yang jauh laksana seorang bersalah besar
yang dibuang negeri, tiada manusia yang datang menengok, tidak ada famili yang
melihat, ditimpa oleh haus dan dahaga, sekarang saya telah lepas dari
pembuangan, saya telah dibolehkan pulang dan beroleh ampun, telah ada manusia
yang lalu-lintas, telah hilang haus dan dahaga, sekarang baru saya tahu dan
mengerti, bahawa sukacita itu ada juga dijadikan Tuhan di dalam dunia fana
ini. Dahulu kalau disebut orang kepada
saya untung dan bahaya, tidak lain yang terlintas dalam fikiran saya daripada
rumah yang indah, gedung yang permai, wang berbilang, emas bertahil, cukup
dengan kenderaan dan kehormatan, dijunjung orang ke mana pergi. Sekarang saya
telah insaf, bahawa semua itu bukan untuk bahagia, yang sejati ialah jika kita
tahu, bahawa kita bukan hidup terbuang di dalam dunia ini, tetapi ada orang
yang mencintai kita. Lebih setahun saya
menghilangkan diri, tidak ada orang lain yang bertanya hal ehwal saya dan saya
pun tak bertanya hal ehwal orang lain. Segala kesakitan hidup telah saya
tanggungkan. Ada juga orang yang menyatakan kasihan, ada orang yang lalu lintas
di hadapan saya, sambil menggelengkan kepala. Tetapi bukanlah mereka mengasihi
jiwa saya, mereka mengasihi tubuh kasar saya yang kurus tak makan atau ditimpa
penyakit. Semuanya tiada erti buat saya. Sekarang barulah saya tahu diri saya
ada harganya buat hidup, sebab ada orang yang mencintai saya, iaitu orang yang
saya cinta. Dahulu saya telah putus asa
hendak hidup, kadang-kadang terlintas di dalam hati saya hendak membunuh diri.
Akan sekarang, wahai tuan, saya hendak hidup, hendak merasai kelazatan cahaya
matahari sebagai orang lain pula, sebab pengetahuan hidupku telah ada. ************ ********* ************
Habislah cerita
sahabatku Hamid hingga itu, mukanya kelihatan berseri-seri, sebab simpanan di
dadanya meluap selama ini telah dapat ditumpahkannya kepada orang yang dapat
dipercayainya. Waktu itu saya menjawab
sambil bergurau sedikit: " InsyaAllah, habis mengerjakan haji saya akan lekas
kembali pulang, mudah-mudahan kita dapat pulang bersama-sama." Iapun menjawap sambil tersenyum "
Mudah-mudahan………" Bersambung....
SURAT-SURAT
Sepuluh
hari sebelum orang-orang haji berangkat ke `Arafah mengerjakan wuquf
jemaah-jemaah telah kembali dari ziarah besar ke Madinah. Waktu itulah pula
Salleh kembali ke Mekah. Surat balasan dari isterinya yang datang
sepeninggalannya ke Madinah telah kami serahkan ke tangannya. Dalam minggu itu
juga datang surat Zainab kepada Hamid.
Salinan surat Rosnah. Kandaku
tuan! Surat kekanda telah adinda terima,
surat yang telah lama adinda harap-harapkan…. Disini ada beberapa perkataan
lagi- isteri (yang tak perlu saya salin)
Akan hal Zainab ia sekarang sakit-sakit, badannya telah kurus agaknya
kerana selalu ingat segala kejadian yang lama-lama itu, adinda, tiada dapat
menahan hati, melihat surat kekanda kepadanya. Seketika membaca surat itu,
badannya kelihatan gementar, entah kerana cemasnya entah kerana harapannya,
dapatlah kekanda maklumi sendiri. Ia sangat harap dan sangat rindu hendak
bertemu dengan Hamid, tetapi hatinya menjadi syak wasangka memikirkan badannya
yang selalu tiada sihat itu, entah akan bertemu juga entah tidak. Alangkah beruntungnya dua orang bersahabat
itu kelak, jika mereka dapat bertemu kembali. Ya, mudah-mudahan Allah yang
pengasih lagi penyayang mengkabulkan permohonan hambaNya, Amin! Rosnah.
Salinan surat Zainab Abangku
Hamid! Baru sekarang adinda beroleh
berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata,
laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggalan yang empunya
pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri. Agaknya adinda telah bersalah
besar sehingga kekanda pergi tak memberitahu dahulu. Sayang sekali, pertanyaan abang belum adinda
jawab dan abang hilang sebelum mulutku sanggup menyusun perkataan penjawabnya.
Kemudian itu abang perintahkan adinda menurut perintah orang tua, tetapi adinda
syak-wasangka melihatkan sikap abang yang gugup ketika menjatuhkan perintah
itu. Wahai abang…. Pertalian kita
diikat oleh beberapa macam tanda Tanya dan tekateki, sebelum terjawab semuanya,
kita telah berpisah dengan tiba-tiba. Memang demikiankah kehendah takdir? Adinda sentiasa tiada putus pengharapan,
adinda tunggu khabar dan berita. Di balik tiap-tiap kalimah daripada suratmu.
Abang!....surat yang terkirim dari Medan, ketika abang akan belayar jauh, telah
adinda periksa dan adinda selidik; banyak sangat surat itu berisi bayangan, di
balik yang tersurat ada yang tersirat. Adinda hendak membalas tetapi kearah
manakah surat itu hendak adinda kirimkan, abang hilang tak tentu rimbanya! Hanya kepada bulan purnama di malam hari
adinda bisikkan dan adinda pesankan kerinduan adinda hendak bertemu. Tetapi
bulan itu tetap tak datang; pada malam yang berikutan dan seterusnya ia kian
kusut….. hanya kepada angin petang yang berhembusan di ranting-ranting kayu di
dekat rumahku, hanya kepadanya ku bisikkan menyuruh supaya ditolongnya
memeliharakan abangku yang berjalan jauh, entah di darat di laut entah sengsara
kehausan. Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu adinda
terima selama hidup adinda tumpahkan airmata, kerana hanya menumpahkan airmata
itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat
itu bisu, meski pun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap
dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya.
Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari
entah besok petang, gerak Allah siapa tahu, besarlah pengharapanku supaya abang
dapat pulang, dapat juga hendaknya kita bertemu….. dan jika abang terlambat pulang, agaknya
bekas tanah penggalian, bekas air penalkin dan jejak mijan yang dua, hanya yang
akan abang dapati. Adikmu yang
tulus: Zainab. Wahai, akan dapatkah dilukiskan, dapatkah
diperikan bagaimana wajah Hamid ketika membaca surat itu? Dapatkah, mungkinkah
dikira-kirakan bagaimana perasaannya di waktu itu? Surat demikian adalah
pengharapannya selama ini, pengharapannya dan buah mimpinya semasa ia masih
bergaul, memikirkan kerendahan darjatnya, tiadalah disangka-sangkanya bahawa ia
akan seberuntung itu, menerima surat dari Zainab, belumlah besar kegembiraan
seorang budak jika ia diajak tersenyum oleh penghulunya; belumlah besar
sukacita seorang pelayan istana jika ia dianugerahi sebentuk cincin oleh
rajanya. Surat tanda cinta dari seorang perempuan, perempuan yang mula-mula
dikenal dalam penghidupan seorang pemuda, adalah lebih berharga kepada senyuman
seorang penghulu daripada budaknya yang lebih mulia daripada sebentuk cincin
yang dianugerahkan raja kepada pelayannya. Satu hati, adalah lebih mahal
daripada senyuman, satu jiwa adalah lebih berharga daripada sebentuk
cincin. Tetapi malang kerana surat itu
diterima Hamid, ketika dia telah jauh dari hadapan Zainab. Apa lagi manusia
tidak dapat menentukan nasibnya sendiri.
DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH
Pada hari
kelapan Zulhijjah perintah daripada syeikh kami menyuruh menyiapkan segala
keperluan untuk berangkat ke `Arafah, kerana pada hari kesembilan akan wuquf
(Berhenti sehari lamanya) di sana. Berangkat itu ialah tiga hari setelah kami
menerima surat tersebut. Akan hal
Hamid, bermula menerima surat itu tidaklah berkesan pada mukanya, bahawa dia
dipengahruhi oleh isinya, tetapi setelah sehari dua hari, kelihatan ia
termenung saja, bertambah daripada biasa, ketika kami tanyai keadaannya, ia
mengatakan, bahawa badannya terasa sakitsakit. Tetapi oleh kerana pergi wuquf
ke `Arafah menjadi rukun daripada mengerjakan haji, tak dapat tidak ia pun
mesti ikut ke sana. Maka dipasanglah sakdup-sakdup di punggung unta yang
beribu-ribu banyaknya. Bersedia hendak membawa orang haji ke `Arafah itu.
Kira-kira pukul empat petang, jemaah-jemaah telah berangkat berduyun-duyun
menuju ke `Arafah, jalan sempit dan penuh oleh manusia dan kenderaan
berbagai-bagai, ada yang mengenderai keldai, kuda dan unta, tetapi yang paling
banyak duduk dalam sakdup iaitu dua buah tandu yang dipasang kiri kanan
punggung unta. Saya bersama dengan Hamid menumpang dalam satu sakdup. Di `Arafah sangat benar panasnya, sehingga
ketika berhenti di tempat itu sehari lamanya, kita ingat-ingat akan berwuquf
kelak di padang Mahsyar. Setelah matahari terbenam kami kembali menuju ke Mina,
berhenti sebentar di Muzdalifah memilih batu untuk melempar " Jumrah"
di Mina itu kelak. Setelah berdiam di Mina pada hari yang ke sepuluh, ke
sebelas, kedua belas, ketiga belas, bolehlah kembali ke Mekah mengerjakan tawaf
besar dan Sai`e, setelah itu bercukur, sehabis bercukur baru disebut "
haji". Pada perhentian besar di
Mina itu, orang-orang yang kaya menyembelih korban untuk fakir dan miskin. Sekarang kembali diceritakan keadaan Hamid.
Demamnya yang dibawa dari Mekah bertambah menjadi-jadi, lebih-lebih setelah
mendapat hawa yang panas di `Arafah itu. Di sana banyak orang yang mati kerana
kepanasan. Hamid tak mahu lagi makan, badannya sangat lelah, sehingga seketika
berangkat ke Mina ia tiada sedarkan dirinya, demi melihat hal itu, jantung saya
berdebardebar, saya kasihan kepadanya. Kalau-kalau di tempat itulah dia akan
bercerai buat selamalamanya dengan kami, lebih-lebih melihat mukanya yang
sangat pucat dan badannya yang sangat lemah.
Setelah selesai penyembelihan besar itu, pada hari yang ke sebelas kami
berangkat ke Mekah, iaitu mengerjakan rukun yang agak cepat, tidak menunggu
sampai tiga hari. Sebelum mengerjakan tawaf besar itu, lebih dahulu kami
singgah ke rumah kami. Kerana penyakit Hamid rupanya bertambah berat,
terpaksalah kami mencarikan orang Badwi upahan, yang biasanya menerima upah
mengangkat orang sakit mengerjakan tawaf. Sebelum Hamid diangkat ke atas bangku
itu, yang diberi hamparan daripada kulit dahan kurma berjalin, khadam syeikh
datang terburu-buru menghantarkan sepucuk surat dari Sumatera, setelah kami
buka, ternyata datangnya dari Rosnah. Muka Salleh menjadi pucat,jantung saya
berdebar-debar membaca isinya yang tiada sangka-sangka, Zainab telah meninggal,
surat menyusul, Rosnah. Setelah
dibacanya dengan sikap yang sangat gugup Salleh menyimpan surat kawat itu ke dalam
sakunya, sambil memandang kepada Hamid dengan perasaan yang sangat
terharu. Tiba-tiba dari tempat tidurnya
Hamid kedengaran berkata; " Surat apakah yang tuan-tuan terima? Apakah
sebabnya tuan-tuan sembunyikan daripadaku? Adakah ia membawa duka atau khabar
suka? Jika ia khabar suka, tidakkah patut saya diberi sedikit saja daripada
kesukaan itu? Kalau khabar itu mengenani diri saya sendiri lebih baik tuan-tuan
terangkan kepada saya lekas-lekas, tidaklah patut tuan-tuan sembunyikan
lama-lama jangan dibiarkan saya di dalam sakit menanggung perasaan yang
ragu-ragu." " Tenagkanlah
hatimu, sahabat! Kehendak Allah telah berlaku, ia telah memanggil orang yang
dicintaiNya ke hadratNya." "
Oh, jadi Zainab telah dahulu daripadaku? " tanyanya pula. " Ya, demikianlah, sahabat!" Mendengar jawapan itu kepanya tertekun, ia
menarik nafas panjang, dari pipinya meleleh dua titik airmata yang panas. Tidak beberapa saat kemudian, datanglah
Badwi tersebut membawa tandu yang kami pesan, Hamid pun dipindahkan ke dalam
dan diangkat dengan segera menuju Masjidil Haram, saya dan Salleh mengiringkan
di belakang menurut Badwi yang berjalan cepat itu. Setelah sampai di dalam
masjid, dibawalah dia tawaf keliling Ka`bah tujuh kali. Ketika sampai yang ke
tujuh kali diisyaratkannya kepada Badwi yang berdua itu menyuruh menghentikan
tandunya di antara pintu Ka`bah dengan batu hitam, di tempat yang bernama
Maltezam, tempat segala doa yang makbul. Orang lain tawaf pula berdesak-desak.
Dengan sifat sabar orang-orang Badwi mengangkat tandu ke dekat tempat yang
tersebut. Hati saya sangat berdebar melihatkan keadaan itu, saya lihat muka
Hamid, di sana sudah nampak terbayang tanda-tanda kematian. Sampai di sana
dihulurkannya tangannya, dipegangnya kesoh kuat dengan tangannya yang telah
kurus, seakan-akan tidak akan dilepaskannya lagi. Saya dekati dia, kedengaran
oleh saya dia membaca doa demikian bunyinya:
" Ya Rabbi, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah
lindungan Ka`bah, rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan
tangan memohon kurnia. Kepada siapa
lagi yang saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan Engkau ya Tuhanku! Tidak
ada suatu tali pun tempat saya bergantung, lain daripada tali Engkau, tidak ada
pintu yang akan saya tutup, lain daripada pintu Engkau. Berilah kelapangan jalan buat saya, saya
hendak pulang ke hasrat Engkau; saya menuruti orangorang yang dahulu daripada
saya, orang-orang yang bertali hidupnya dengan hidup saya. Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada
Engkaulah kami sekalian akan kembali….."
Setelah itu suaranya tidak kedengaran lagi; di mukanya terbayang suatu
cahaya muka yang jernih dan damai, cahaya keredhaan daripada Ilahi. Di bibirnya terbayang suatu senyuman
dan….sampailah waktunya lepaslah ia daripada tanggungan dunia yang amat berat
ini, dengan keizinan Tuhannya, di bawah lindungan Ka`bah! Pada hari itu selesailah mayat sahabat yang
dikasihi itu dimakamkan di perkuburan Ma`ala yang masyhur.
SURAT ROSNAH YANG MENYUSUL
Dua minggu
sudah kejadian itu, datanglah surat Rosnah yang dijanjikannya kepada suaminya
itu, demikian bunyinya: " Kekanda
yang tercinta!" Adinda kirimkan
surat ini menyusul surat kawat yang dahulu. Zainab meninggal. Apakah dari itu
lagi yang harus adinda nyatakan? Dia telah menanggung penyakit dengan sabar dan
tawakkal, mula-mula adinda hendak sampaikan khabar ini kepada Hamid, sebab
sentiasa Hamid menjadi buah mulutnya sampai saatnya yang penghabisan, tiba-tiba
kawat kekanda datang pula, Hamid telah menyusul kekasihnya. Demikianlah kedua makhluk yang tidak
beruntung nasibnya itu, mudah-mudahan arwahnya mendapat bahagia di
akhirat. Adinda harus mengaku, bahawa
jarang sekali kita bertemu dengan seorang perempuan sebagai Zainab. Tidak ada
orang yang tahu tentang keadaan dirinya, kecuali ibunya dan adinda. Pendengaran
yang sampai kepadanya, bahawa Hamid ada di Mekah mengobarkan kembali akan api
yang telah hampir padam. Lima hari
sebelum ia meninggal dunia, pagi-pagi benar dia sudah bangun dari tempat
tidurnya, mukanya lebih jernih dari biasa. Dengan senyum dia berkata, bahawa
dia bermimpi melihat Ka`bah, dantara manusia yang sedang tawaf. Dia melihat
Hamid melambaikan tangannya memanggil dia, supaya mendekatkan kepadanya,
setelah dia mendekat dia terbangun…..
Lepas hari itu, tidak banyak bicara lagi, doktor pun datang juga
memeriksai dia, tetapi ketika melihat wajahnya, mengertilah adinda, bahawa ubat
yang dibawanya sebenar-benarnya ialah buat ibu Zainab, tidak buat Zainab lagi,
sebab di tangga ketika dia akan pulang, jelas benar oleh adinda doktor itu
menggeleng-gelengkan kepalanya. Pada
malam 9 Zulhijjah panasnya naik daripada biasa. Kira-kira pukul dua tengah
malam, dipandangnya adinda tenang-tenang, kemudian dilihatnya pula buku album
yang terletak di meja tulisnya; adinda pun mengertilah apa yang dimaksudkannay.
Adinda ambil album itu dan adinda buka. Demi dilihatnya gambar Hamid, jatuhlah
dua titis airmata yang bulat dari mata yang telah cekung itu. Setelah itu
diambilnya tangan ibunya, dibawanya ke dada. Maka dengan beransur-ansur,
laksana lampu yang kehabisan minyak, bercerailah badannya dengan sukmanya. Kekanda, demikianlah kematian zainab, dan
sekarang suatu pula yang menjadikan was-was adinda, iaitu keadaan ibunya,
bagaimanakah kelak perasaan perempuan itu kerana kehilangan anaknya. Sekianlah dan buat semangat orang yang telah
mati, adinda kirimkan salamku dan moga kekanda lekas pulang. Adindamu
Rosnah
PENUTUP
Kian lama
kian sunyilah tanah Mekah. Bukit-bukit yang telah gondola itu tegak dengan
teguhnya laksana pengawal yang menyaksikan dan menjagai orang haji yang
beransur pulang ke kampong masing-masing. Kedai-kedai kian sudah tutup, sebab 6
bulan pula lamanya pasar akan sepi. Tidak putus-putus unta berarak-arak
diiringkan oleh gembalanya bangsa Badwi sambil bernyanyinyanyi. Sehari sebelum kami meninggalkan Mekah,
pergilah kami berziarah ke perkuburan Ma,ala tempat Hamid dikuburkan. Di sana
masih bertemu kesannya, meskipun agak sukar mencarinya, sebab telah banyak pula
orang lain yang berkubur. Saya hadapkan muka saya ke pusara itu dan saya
berkata: " Penghidupanmu yang
tiada mengenal putus asa, kesabaran dan ketenangan hatimu menanggung sengsara,
dapatlah menjadi tamsil dan ibarat kepada kami. Engkau telah mengambil jalan yang lurus dan
jujur di dalam memupuk dan mempertahankan cinta. " Allah adalah Maha adil,
jika sempit bagimu dunia ini berdua, maka alam akhirat adalah lebih lapang dan
luas, di sanalah kelak makhluk menerima balasan dari kejujuran dan
kesabarannya; di sanalah penghidupan yang sebenarnya, bukan mimpi dan bukan
khayalan. " Kami pun dalam menunggu
titah pula, sebab ada masanya datang dan ada masanya pergi. " Selamatlah,
moga-moga Allah memberi berkat atas jiwamu dan jiwa Zainab." Pukul empat petang kami tawaf keliling
Ka`bah " Tawaf Wida" ertinya tawaf selamat berpisah. Sehari itu juga
kami akan berangkat ke Juddah. Saudaraku Salleh belayar dengan kapal yang
menuju ke Mesir…… Dan kapalku
memecahkan ombak dan gelombang menuju ke tanahair yang tercinta………..
TAMAT
" Dalam kerendahan diri, ada ketinggian budi, " Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan
jiwa, " Dalam kesempitan hidup, ada
keluasan ilmu, " Hidup ini indah
jika segalanya kerana Allah S.W.T.
* Penulis : Haji
Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA) * Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah
Lindungan Kaabah. * Cetakan : Pustaka Antara